Followers

Thursday, December 31, 2009

Malaysia laksana tiga perjanjian perdagangan bebas serantau bermula esok

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melaksanakan tiga perjanjian perdagangan bebas serantau Asean, mulai esok.

Tiga perjanjian itu ialah pelaksanaan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta), Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas bagi Sektor Barangan Asean-India.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), berkata enakmen perundangan bagi melaksanakan tiga perjanjian perdagangan bebas serantau itu sudah disempurnakan.

"Secara amnya, pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas ini membabitkan liberalisasi perdagangan barangan serantau yang membabitkan kesemua negara anggota Asean bagi Afta, pasaran Asean bersama Australia dan New Zealand dan pasaran Asean bersama India," demikian menurut kementerian itu di dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian itu menyatakan pelaksanaan ketiga-tiga perjanjian perdagangan bebas serantau itu diharap akan mengukuhkan lagi perdagangan di kalangan negara Asean, serta dengan rakan dagangan dari Australia, New Zealand dan India.

Ia juga secara langsung membuka peluang kepada komuniti perniagaan Malaysia untuk meluaskan perniagaan serta pasaran produk dan perkhidmatan mereka ke negara berkenaan, katanya.

Bagi Asean dan India, Miti menjelaskan bahawa perjanjian perdagangan bebas yang berkuat kuasa itu akan membuka pasaran bagi 1.7 bilion penduduk.

Sehubungan itu, komuniti perniagaan Malaysia adalah digalakkan untuk mengambil setiap faedah dan kemudahan yang ditawarkan, termasuk pemansuhan dan penurunan tarif barangan, pembukaan pasaran bagi bidang perkhidmatan dan kelonggaran syarat pelaburan serta langkah bagi pelaksanaan kerjasama perdagangan dan ekonomi, katanya.

Afta yang juga liberalisasi secara progresif perdagangan barangan sesama Asean sejak 1 Januari 1993 akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2010.

Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand akan memansuhkan tarif ke atas semua barangan melainkan sebilangan kecil barangan sensitif pertanian pada duti 5.0 peratus.

Malaysia sudah memberikan komitmen untuk memansuhkan duti ke atas 1,943 baris tarif.

Dengan perkembangan itu, duti import bagi perdagangan sesama Asean bukan lagi penghalang kepada perdagangan.

Pelaksanaan AANZFTA menubuhkan kawasan perdagangan bebas, termasuk pembukaan pasaran bagi sektor barangan, sektor perkhidmatan serta kelonggaran beberapa syarat pelaburan dan kerjasama ekonomi antara negara anggota Asean, Australia dan New Zealand.

Perjanjian itu adalah perjanjian perdagangan bebas serantau secara komprehensif yang pertama bagi Asean.

Bagi sektor barangan, tawaran membabitkan pemansuhan tarif sepenuhnya secara progresif oleh Australia dan New Zealand dalam tempoh tiga hingga 10 tahun.

Menjelang 2020, semua eksport barangan oleh pengeksport Malaysia ke Australia dan New Zealand tidak akan dikenakan sebarang duti import.

Tawaran oleh Australia dan New Zealand ini masing-masing membabitkan sejumlah 6,124 dan 7,328 baris tarif.

Malaysia pula menawarkan pemansuhan dan penurunan tarif ke atas 99 peratus atau 10,502 baris tarifnya.

Permulaan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas bagi sektor barangan Asean-India pula meliputi pemansuhan dan pengurangan tarif barangan ke atas produk yang ditawarkan oleh negara anggota Asean dan India.

Di bawah perjanjian perdagangan bebas itu, duti import barangan akan dimansuhkan secara progresif dalam tempoh masa tiga hingga lapan tahun bermula 1 Januari 2010.

Tawaran oleh Malaysia dan India membabitkan pemansuhan dan pengurangan duti import secara progresif ke atas lebih 10,000 baris tarif. - Bernama

0 comments: