Followers

Thursday, December 31, 2009

Gelombang kedua H1N1: Ibu bapa, sekolah perlu waspada

KUALA LUMPUR: Sekolah dan ibu bapa adalah pihak terpenting yang perlu sentiasa berwaspada dalam berdepan dengan gelombang kedua wabak Influenza A(H1N1) apabila sesi baru persekolahan dibuka semula Ahad dan Isnin ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata, ia kerana jika tiada persiapan dibuat bagi menghadapi gelombang kedua itu, tidak mustahil ia akan membawa kesan yang lebih berbahaya kepada orang ramai.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa memantau kesihatan anak-anak mereka dan bertindak segera dengan menghantar mereka ke hospital sekiranya didapati mereka mengalami tanda-tanda gejala serupa influenza (ILI).

"Begitu juga dengan pihak sekolah, jika didapati ada pelajar yang mengalami sindrom sama, guru-guru perlu bertindak segera dengan mengasingkan mereka sebelum mereka mendapat rawatan di hospital," katanya selepas merasmikan program "Kembali Ke Sekolah: Bersedia dan Berwaspada" di sini, hari ini.

Dr Hasan berkata, selain itu, langkah-langkah pencegahan yang diumumkan sebelum ini bagi menghindar jangkitan influenza itu seperti tidak terlalu kerap berada di kawasan sesak, menutup mulut semasa bersin, tidak berkongsi sapu tangan dengan orang lain juga perlu terus diamalkan orang ramai.

"Jangan ambil mudah akan jangkitan daripada penyakit ini...walaupun pada masa ini statistik menunjukkan penurunan kadar jangkitan dalam masyarakat kita, tetapi kita harus berwaspada dengan gelombang kedua yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Selain itu, Dr Hasan berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa pandemik H1N1 dijangka berakhir sekitar 2012 memandangkan tahap bahaya penyakit ini masih kekal pada tahap enam iaitu tahap paling bahaya.

"Keadaan ini ada benarnya memandangkan pada masa kini jangkitan H1N1 dilihat masih aktif terutama di negera-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara.

"Jadi orang ramai, sekali lagi diingatkan supaya terus berwaspada jika ada melawat negara berkenaan dan pastikan anda terus berjumpa doktor jika ada simptom ILI sekembalinya mereka ke negara ini," katanya.

Program anjuran bersama antara Kementerian Kesihatan dan syarikat Lam Soon Edible Oil Sdn Bhd, disertai 15 sekolah di Lembah Klang yang akan dibekalkan dengan cecair pencuci tangan Antabax, manakala cecair pembasmi kuman segera Antabax akan dibekalkan selama sebulan di kawasan tumpuan ramai di sekolah seperti kantin, dewan perhimpunan dan perpustakaan.

Antara sekolah yang mendapat bekalan itu termasuk Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik, SK Putrajaya Presint 8(1), SK Putrajaya Presint 9(1) dan (2), SK Taman Megah, SK Seri Tasik, SK Pengkalan Tentera Darat dan SK Sentul 1.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Lam Soon Edible Oil Sdn Bhd, Carmen Foo berkata, program itu disasarkan kepada murid-murid sekolah memandangkan mereka antara golongan yang mudah dijangkiti penyakit itu.

"Kami memilih untuk melancarkan program ini di sekolah rendah kerana merasakan kanak-kanak berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini, mereka memerlukan peringatan yang berulang kali dan belum lagi sedar akan kesan jangkitan penyakit ini terhadap mereka.

"Justeru dengan program seperti ini sekurang-kurangnya kami dapat menjalankan tanggungjawab sosial kami dalam membantu kerajaan mengurangkan risiko penularan wabak influenza A (H1N1) terhadap kanak-kanak dan pada masa sama dapat mendidik mereka bagaimana untuk menjaga kebersihan diri dengan lebih teliti," katanya. - Bernama

0 comments: