Followers

Thursday, December 31, 2009

Industri automotif dijangka berkembang pada 2010

KUALA LUMPUR: Industri automotif dijangka mencatatkan peningkatan pada 2010 berbanding dengan pergerakan perlahan pada 2009 berikutan keadaan kemelesetan ekonomi global.

Antara faktor jangkaan itu termasuk pertumbuhan ekonomi lebih baik, pelancaran banyak model baru, keyakinan pengguna yang kukuh, penambahbaikan bagi mendapatkan pembiayaan dan persekitaran penetapan harga yang lebih baik.

Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dapat diramalkan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2010

"Berdasarkan angka jualan yang menggalakkan pada November, jualan kereta dijangka meneruskan lajakan pada 2010," kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, baru-baru ini.

Pada November 2009, 45,200 unit kenderaan dijual, peningkatan 11 peratus daripada 40,865 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu, selepas keadaan pasaran meningkat baik.

Aishah berkata, semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP) dijangka merangsang industri itu kerana dasar itu memastikan industri automotif berdaya maju dan kompetitif pada tempoh jangka panjang.

Bagaimanapun, ia akan memakan masa yang agak lama sebelum dapat mencatatkan peningkatan, katanya.

Penganalisis Permotoran OSK Research, Ahmad Maghfur Usman, berkata NAP mampu merubah industri automotif tempatan untuk menjadi satu hab serantau di dalam tempoh jangka panjang dengan tawaran pengecualian cukai korporat dan barangan yang dieskport bagi menarik kemasukan peralatan asli (OEM) global.

"Sambil insentif itu akan dimanfaatkan industri secara keseluruhannya, kita melihat Proton sebagai penerima manfaat terbesar kerana kilangnya di Shah Alam berpotensi menarik minat OEM global," katanya.

Katanya, kerajaan sedang cuba menarik pengeluar kereta Eropah dengan melonggarkan syarat ekuiti bagi segmen pengeluar kereta penumpang mewah baru-baru ini.

"Ini mengukuhkan pandangan kami bahawa perkongsian antara Proton dan Volkswagen bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi," kata Ahmad Maghfur.

"Kami optimis terhadap prospek jangka panjang industri itu," katanya, sambil menyatakan bahawa jumlah industri secara keseluruhan (TIV) diunjurkan berkembang 3.7 peratus pada tahun depan daripada 500,000 unit yang diunjurkan pada 2009.

Dalam situasi berbeza, risiko utama yang dihadapi ialah kekurangan model baru bagi meningkatkan TIV dan kos pembiayaan yang lebih tinggi berikutan kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan pada tahun depan, katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM), memutuskan untuk membiarkan OPR tidak berubah pada kadar 2.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2009 yang lepas, pada bulan lalu.

Mengulas model baru, Proton sebagai contoh, dijangka melancarkan satu model Waja dan Perdana yang baharu pada tahun depan, sebagai tambahan kepada model Persona yang ditambah baik.

Proton Holdings Bhd mencatatkan kenaikan 77 peratus di dalam keuntungan pra-cukainya yang mencecah RM100.652 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2009 berbanding dengan RM56.608 juta di dalam suku yang sama 2008.

Dengan perolehan meningkat kepada RM2.104 bilion daripada RM1.846 bilion sebelum ini, pengeluar kereta nasional itu menyatakan ia disumbang oleh keputusan yang bertambah baik yang menyumbangkan margin keseluruhan yang lebih baik berikutan pengenalan kenderaan pelbagai guna (MPV), Exora.

Proton juga dilaporkan optimis terhadap peningkatan agihan pasarannya dengan unjuran peningkatan 29 peratus di dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 daripada 26 peratus pada 2009.

Selain itu, pengeluar kereta nasional kedua, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), yang mempertaruhkan model MPV terbarunya, Alza, dijangka meningkatkan agihan pasarannya kepada 33.3 peratus pada tahun depan daripada 31.1 peratus sekarang ini.

Perodua Alza, kenderaan tujuh tempat duduk yang kecil, yang dijual pada harga antara RM55,000 dan RM70,000, adalah model tempatan terbaru diperkenalkan pada 2009 serta Naza Forte.

Secara keseluruhannya, pemerhati pasaran berpandangan bahawa syarikat automotif sepatutnya mengukuhkan pengiklanan dan promosi masing-masing serta pasukan jualan untuk memenangi hati dan minda pembeli sama ada di bandaraya atau di luar bandar. - Bernama

0 comments: