Followers

Friday, December 4, 2009

Malaysia harap Switzerland batal larangan bina menara masjid

KUALA LUMPUR: Malaysia kecewa dengan keputusan pungutan suara di Switzerland yang menentang pembinaan menara masjid dan menyifatkannya sebagai menghalang usaha memupuk toleransi beragama dan kebebasan untuk hidup bersama secara aman.

"Malaysia harap kerajaan Switzerland akan berusaha sedapat mungkin bagi mengubah keputusan yang tidak mencerminkan sikap bertolak ansur itu kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap masyarakat, khususnya umat Islam, akibat keputusan pungutan suara itu," kata Menteri Luar Datuk Anifah Aman dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, larangan itu adalah tamparan hebat terhadap kebebasan beragama dan mencabuli hak golongan minoriti untuk mengamalkan agama mereka di Switzerland.

"Bertentangan sama sekali dengan kepercayaan pengundi Switzerland bahawa langkah itu mampu menyekat tindakan radikal dan usaha Islamisasi, Malaysia percaya keputusan berkenaan akan memisahkan umat Islam di Switzerland daripada masyarakat induk dan akan menjejaskan usaha global memupuk toleransi beragama serta kehidupan bersama secara aman," katanya.

Anifah berkata, Malaysia amat kecewa perkara itu berlaku pada era globalisasi dan di negara yang selama ini menjunjung tinggi hak asasi manusia serta sentiasa menganjurkan perdamaian dan persefahaman antara dunia Islam dan bukan Islam.

"Malaysia berharap, kerajaan Switzerland akan mengambil langkah proaktif bagi memupuk persefahaman, toleransi dan sikap menghormati perbezaan agama," katanya. - Bernama

1 comments:

Belle Edwin said...

i dont know..but u know what..this is my opnion ok..what u felt is the same as what other malaysian who embrace other religion than islam here in malaysia, when they want to build their tample or ect but not allowed by goverment..