Followers

Friday, December 4, 2009

Lima laluan Malaysia sertai industri pertahanan

LANGKAWI: Penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) hampir 20 tahun, membuka laluan kepada Malaysia untuk muncul sebagai antara negara pengeluar produk industri pertahanan dan keselamatan terpenting dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penganjuran pameran dwi tahunan itu sejak 1991 sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menanam minat khususnya terhadap pelajar sekolah dalam industri berkenaan.

Katanya, pendedahan awal kepada pelajar sekolah yang menyaksikan Lima boleh membangkitkan keinginan mereka untuk menceburi bidang berkenaan selepas tamat persekolahan.

"Perkembangan ini petanda baik Malaysia mampu menjadi antara negara pengeluar produk pertahanan bukan sekadar negara pengguna," katanya beliau di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena Lima '09 di sini, hari ini.

Pameran lima itu yang bermula Selasa lalu hingga esok, disertai 325 syarikat dari 25 buah negara termasuk Australia, Belarus, Denmark, Singapura, New Zealand, Indonesia, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, perkembangan ini juga terbukti apabila syarikat Malaysia mengambil kira-kira 37 peratus ruang pameran di MIEC yang memperlihatkan minat mereka dalam bidang itu telah berkembang.

Pameran di MIEC membabitkan sektor udara akan dibuka kepada orang ramai esok dengan bayaran masuk RM10 seorang manakala sektor maritim di Awana Porto Malai dibuka sejak 1 Disember.

Mengenai tahap keselamatan apabila pameran itu dibuka kepada orang ramai, Ahmad Zahid yakin ia akan berjalan lancar kerana hampir 3,800 anggota pasukan keselamatan ditugaskan mengawal keadaan di kedua-dua sektor tersebut.

"Saya fikir tiada masalah kerana kita ada seramai 700 anggota polis, 3,000 anggota tentera dan 96 pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas," katanya. - Bernama

0 comments: