Followers

Friday, December 4, 2009

Banjir di Terengganu tidak banyak berubah

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terenganu tidak banyak berubah dengan jumlah penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan seluruh negeri kini seramai 3,103 orang.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, bilangan mangsa paling ramai dipindahkan ialah di Kemaman dengan 2,048 orang, diikuti Dungun (545), Kuala Terengganu (248), Marang (120), Hulu Terengganu (82) dan Setiu (60).

"Bagaimanapun semua 51 mangsa banjir di Besut sudah dibenarkan pulang hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, Kemaman masih dilanda banjir akibat hujan lebat yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, semua jalan utama di Terengganu termasuk Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu boleh dilalui semua kenderaan.

Selain itu, beberapa jalan kampung masih ditutup kepada semua jenis kenderaan, iaitu di Kemaman (tujuh), Hulu Terengganu (lima) dan Dungun (dua), katanya.

Beliau juga berkata, paras air semua sungai utama di Terengganu kini berada di bawah paras waspada.

Di KOTA BHARU, beberapa kawasan kediaman di bandar ini masih digenangi air menyebabkan jumlah mangsa pemindahan kekal seramai 26 orang.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata, sehingga 5 petang tadi, semua 26 mangsa banjir membabitkan enam keluarga itu masih ditempatkan di satu-satunya pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di jajahan Kota Baharu.

"Semua mereka masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tiong, dekat sini dan sekiranya keadaan cuaca berterusan baik dengan air surut sepenuhnya, mereka akan dibenarkan pulang," katanya.

Jurucakap itu berkata sehingga petang ini, paras air sungai mulai mencatatkan penurunan secara perlahan-lahan.

"Hanya satu sungai berada melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang yang berada di paras 9.85 meter melepasi paras bahaya 9 meter," katanya.

Selain itu, satu sungai kini melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard yang kini di paras 12.16 meter melepasi paras bahaya 12 meter.

Di KUANTAN, bilangan mangsa banjir di Pahang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sehingga 5 petang ini meningkat kepada 335 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daripada jumlah itu seramai 281 orang daripada 60 keluarga dari Kampung Paya Chedong, Kampung Ulu Luit dan Kampung Bukit Kuin.

Katanya, mereka ditempatkan di Dewan Perpaduan Teladas, Balai raya Ulu Luit dan Surau Bukit Kuin mulai 10 pagi ini.

"Di daerah Bera pula, pusat pemindahan Kompleks Rakan Muda Bera menempatkan 18 orang terdiri daripada lima keluarga dari Kampung Paya Tateh dan Kampung Paya Helang yang dipindahkan pukul 10.50 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Cherating Baru, dekat sini berjumlah 36 orang daripada lapan keluarga.

Menurutnya, mangsa banjir berkenaan mula dipindahkan pagi semalam selepas penempatan mereka di Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor dinaiki air kira-kira 0.5 meter. - Bernama

0 comments: