Followers

Monday, November 9, 2009

Sabah&Sarawak: DBKK tak tukar status setinggan

Penghuni penempatan haram perlu faham kerajaan terpaksa utamakan pembangunan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak berhasrat menukar status semua penempatan setinggan di bandar raya ini kepada perkampungan tradisi bagi membolehkan penghuninya terus tinggal di kawasan terbabit.

Datuk Bandar, Datuk Iliyas Ibrahim, berkata langkah itu tidak boleh dilaksanakan kerana tanah diduduki setinggan diperlukan kerajaan untuk projek pembangunan pada masa depan.

Katanya, penghuni setinggan harus menyedari perkara itu dan tidak mendesak pihak berkuasa memenuhi permintaan mereka atau menghalang tindakan merobohkan penempatan secara haram.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini ada penempatan setinggan ditukar menjadi perkampungan tradisi tetapi keputusan itu bergantung kepada keadaan dan kedudukan penempatan berkenaan.

“Kita tidak boleh menukar status setinggan kepada perkampungan tradisi sewenang-wenangnya, terutama ketika bilangan tanah kosong untuk pembangunan semakin terhad.

“Apa yang kita boleh lakukan ialah membina lebih banyak rumah mampu milik untuk disewa atau dijual kepada setinggan bagi mengatasi kesukaran mendapatkan tempat tinggal di bandar raya ini," katanya di sini, semalam.

Beliau ditanya langkah DBKK mengatasi masalah penempatan setinggan ke arah menjadikan bandar raya ini sebagai kawasan bebas setinggan.

Katanya, antara penempatan setinggan yang diterima sebagai perkampungan tradisi ialah Kampung Lok Urai di Pulau Gaya dan Kampung Kopungit di Kepayan Ridge.

"Masalah setinggan berlaku disebabkan penghijrahan penduduk dari luar bandar yang datang ke ibu negeri untuk mencari pekerjaan tetapi tidak mampu menyewa atau membeli rumah.

“Sebagai penyelesaian, mereka membina rumah di tanah kosong di sekitar bandar raya seperti di kawasan bakau. Ada juga membina rumah di tanah terbiar berhampiran jalan raya," katanya.

Iliyas berkata tindakan itu menimbulkan kerosakan kepada alam sekitar dan pemandangan kurang manis kerana kebanyakan rumah setinggan dibina ala kadar dan lebih sesuai dipanggil pondok.

Katanya, masalah sampah mengotori sungai dan perairan sekitar bandar raya juga berpunca daripada penempatan setinggan berikutan sikap penghuninya mengambil jalan mudah membuang sampah di atas air.

“Masalah inilah yang perlu ditangani sebaik mungkin kerana ia menjejaskan keindahan dan kebersihan bandar raya. Jika tidak imej bandar raya akan terus tercalar," katanya.

Bagi mengatasinya, DBKK akan meneruskan operasi meroboh setinggan di sekitar bandar raya dan pada masa sama merancang membina lebih banyak perumahan baru untuk disewa atau dijual kepada setinggan.

Langkah itu bertujuan memastikan tiada lagi pemandangan rumah atau pondok usang di kawasan bakau atau tepi jalan sekitar bandar raya ini selaras usaha meningkatkan imej bandar raya sebagai kawasan bersih, indah dan selamat.

0 comments: