Followers

Sunday, October 25, 2009

Peruntukan RM3.7 bilion dimanfaat: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan memastikan kementeriannya memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM3.7 bilion dalam Bajet 2010 bagi mempertingkatkan kecekapan anggota keselamatan dan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Malah saya juga akan pastikan pihak KDN bekerja keras bagi menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dipertanggungjawabkan di bawah KDN iaitu mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus termasuk mengurangkan indeks jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, peruntukan itu juga akan disalurkan untuk pembelian 50 van penumpang, 400 pucuk pistol 9mm, dan penyediaan pakaian seragam anggota Ikatan Relawan Negara (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang terpilih sebagai Sukarelawan Simpanan Polis.

Beliau berharap anggota PDRM menghargai keprihatinan dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kebajikan dan keselesaan mereka dalam bajet kali ini.

"Selain menambah baik kemudahan dan infrastruktur di balai polis serta menubuhkan Sekolah Latihan Kontinjen, pihak kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif dengan membeli alat perhubungan, dan kelengkapan PDRM seperti lanci-lanci, alat perhubungan radio, senjata api dan peluru, kenderaan, kapal terbang, alat bantuan teknik dan sistem teknologi maklumat," katanya.

Hishammuddin berkata, sebanyak 35 projek untuk kemudahan kuarters, pejabat dan ubah suai bangunan di bawah "Bina, Sewa dan Pindah" (BLT) dijangka siap tahun depan.

"Ianya membabitkan enam kuarters, dua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), sembilan balai polis, tiga Pasukan Gerakan Am (PGA), satu maktab polis, satu pusat latihan polis, satu mes pegawai kanan PDRM, satu lokap dan stor barang kes dan satu pangkalan polis marin," katanya.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 25 projek pembangunan, 12 projek penambahbaikan dan 12 projek di bawah peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijangka siap pada tahun sama (2010).

"25 projek pembangunan tersebut membabitkan lapan pondok polis, 13 balai polis, dua pusat latihan dan dua pangkalan marin. 12 projek penambahbaikan pula membabitkan satu IPK, lima IPD, lima balai polis dan satu maktab polis. Manakala 12 projek di bawah JPM pula membabitkan 12 projek perumahan PDRM," katanya.

Hishammuddin juga menyambut baik usaha kerajaan untuk mengguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi memperkemaskan keberkesanan penguatkuasaan ke atas kegiatan ceti haram atau along.

"Usaha ini penting bagi menangani kegiatan haram along yang telah menimbulkan rasa trauma serta tidak selamat di kalangan mangsa serta anggota masyarakat keseluruhan," katanya. - Bernama

0 comments: