Followers

Wednesday, September 23, 2009

Sabah & Sarawak: Tindakan tegas jika bantu pendatang dapatkan MyKad

Polis anggap mahu lakukan siasatan kerana dakwaan serius

KOTA KINABALU: Tindakan tegas tanpa kompromi menanti mereka yang didapati terbabit dalam mendalangi kegiatan membantu pendatang tanpa izin di Sabah memperoleh Mykad.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata polis menyifatkan dakwaan itu sebagai sangat serius dan akan melakukan siasatan menyeluruh bagi menentukan kesahihannya.

"Ketika ini, kita masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan meneliti laporan berkenaan secara terperinci. Jika ia benar berlaku, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kuih raya kepada semua ketua polis daerah di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Kong Hong Ming, minggu lalu kononnya wujud usaha mendaftarkan pendatang tanpa izin di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad.

Kong dilaporkan mendakwa, ramai pendatang tanpa izin dari negara jiran dibawa ke kampung terbabit menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar dalam operasi yang dikatakan dijalankan oleh kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau dan Kota Kinabalu.

Noor Rashid bagaimanapun berkata, belum ada tangkapan dibuat berhubung dakwaan itu kerana siasatan bagi menentukan kebenaran dakwaan berkenaan masih dijalankan.

Katanya, kes idisiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Kita juga meminta kerjasama semua pihak supaya memandang serius perkara itu dan segera membuat laporan kepada polis jika mendapat tahu ada kes seperti itu berlaku," katanya.

Awal bulan lalu, dakwaan konon wujudnya usaha mendaftarkan pendatang tanpa izin di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad, menjadi berita hangat di Sabah, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin dan awam yang mahu dakwaan itu disiasat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengarahkan JPN menjalankan siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang mahu JPN memberi penjelasan berikutan dakwaan Kong berkenaan.

Musa dilaporkan berkata, kerajaan negeri yang memandang serius dakwaan itu mahu JPN menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kemungkinan ada pihak tertentu dalam agensi berkenaan atau sebaliknya yang bertindak sedemikian.

Amaran keras turut disuarakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Mohd Noor kepada mana-mana ketua kampung di Sabah yang didapati bersekongkol membantu dan memudahkan laluan pendatang tanpa izin mendapatkan Mykad di negeri itu bukan saja berdepan tindakan undang-undang, malah akan ditamatkan perkhidmatan dengan serta-merta.

0 comments: