Followers

Wednesday, September 23, 2009

Sabah & Sarawak: Bot buruk jejas Semporna

PBT wajar musnahkan bangkai buruk tanpa bawa manfaat kepada penduduk

SEMPORNA: Apakah signifikan di sebalik deretan bot buruk dan usang berlabuh berhampiran pintu masuk ke destinasi pelancongan tersohor di dunia? Sekadar perhiasan atau tunggul yang nyata menyakitkan mata memandang?

Jika sebagai perhiasan, mengapa tidak dibina papan tanda atau plak bagi merungkai persoalan pengunjung mengenai status bot ibarat tunggul buruk di tepian laut itu.

Andainya bot berkenaan adalah sisa buangan yang sukar dilupuskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Semporna wajar memusnahkan bot berkenaan kerana ia mencacatkan pemandangan tempat yang indah.

Ia kerana deretan lima bot usang dan buruk itu betul-betul seiring dengan papan penanda arah `Gerbang Laluan Ke Taman Marin Tun Sakaran' atau `Gateway To Tun Sakaran Marine Park'.

Ia adalah pintu masuk utama ke pulau peranginan yang memiliki hamparan dasar laut diiktiraf antara lima terindah di dunia iaitu Pulau Sipadan, selain Mabul, Kapalai dan Mataking yang tersohor di peringkat antarabangsa.

Seorang pelancong dari Norway, Ben Horward, 45, yang mengambil gambar bot berkenaan dan mempersoalkan mengapa ia berlabuh di situ dengan pantas menimbulkan keresahan penulis jika ada mata yang kurang senang memandangnya.

Horward secara jujur berkata, adalah lebih baik jika bot berkenaan ditenggelamkan ke dasar laut supaya menjadi tukun tiruan yang boleh menjadi habitat pelbagai hidupan laut terutama ikan, sotong dan ketam yang pastinya menguntungkan nelayan berbanding membiarkan ia tersadai.

"Saya hairan kenapa bot ini dibiarkan di situ. Ini adalah percutian kedua saya ke Semporna dalam tempoh tiga tahun dan bot itu tidak pernah dialihkan sejak kedatangan pertama saya,” katanya yang tidak mahu gambarnya dirakamkan.

Tanpa memandang negatif luahan hati pelancong asing yang mengagumi keindahan Sabah, memang ada logiknya cadangan supaya bot itu ditenggelamkan untuk menjadi tukun tiruan.

Pelawat dari Kuala Terengganu, Hamdi Hassan, 37, berkata bot berkenaan sepatutnya tidak mencacatkan pemandangan terutama mereka yang bersantai di gerai tepian Laut Sulawesi berhampiran Gerbang Laluan Ke Taman Marin Tun Sakaran.

Katanya, PBT seharusnya bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan kompaun kepada pemilik bot kerana membiarkan terdampar di kawasan strategik sektor pelancongan.

"Kewujudan bot buruk dan usang di tepian laut ke pintu masuk pulau peranginan ulung tidak seharusnya berlaku dan tindakan segera perlu diambil untuk memindah atau memusnahkannya.

"Dengan keadaannya yang berkarat dan reput, ia boleh menjejaskan kualiti laut dan hidupan marin dalam jangka panjang, selain mungkin menarik kanak-kanak mencerobohnya,” katanya.

Seorang penduduk, Hisyan Jambul, 47, berkata mereka risau bot berkenaan menjadi sarang pembiakan haiwan berbisa seperti ular kerana banyak ruang boleh menjadi tempat reptilia itu bersembunyi.

Sehubungan itu, beliau berharap ia dipindahkan atau dimusnahkan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

"Semua orang kenal Semporna dan mereka yang mahu ke Pulau Sipadan akan singgah di pekan tradisi ini. Oleh itu, eloklah kita menghidangkan suasana yang asli dan sesuai dengan cara hidup masyarakat setempat seperti kehidupan golongan Bajau Laut serta kegiatan perikanan,” katanya.

0 comments: