Followers

Wednesday, September 23, 2009

Sabah & Sarawak: 587 anggota bomba Sabah bertugas pada Aidilfitri

KOTA KINABALU: Seramai 587 daripada 800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan bertugas pada Aidilfitri kali ini.

Pengarahnya, Khirudin Drahman, berkata mereka akan bertugas secara bergilir di 20 balai bomba seluruh negeri dengan tumpuan diberi di kawasan berisiko tinggi.

"Kita memberi perhatian di kawasan berisiko tinggi terutama dari jam 12 malam hingga 6 pagi sebagai langkah bersiap sedia kita menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kuih raya kepada ketua balai bomba di Dewan Ibu Pejabat JBPM Sabah di sini, kelmarin.

Pada majlis sama, JBPM Sabah turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa rumah anak yatim di sekitar Kota Kinabalu.

Khirudin berkata, pihaknya akan menempatkan beberapa anggota Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) untuk membuat rondaan pada sebelah malam dan sebarang kebakaran akan dilapor serta-merta ke balai bomba supaya tindakan mengawal dapat dilakukan secepat mungkin.

''Unit berkenaan juga akan memadam kebakaran sebelum ketibaan jentera kerana ia dilengkapi dengan peralatan menyelamat dan memadam kebakaran.

"Strategi ini diyakini berkesan kerana turut dipraktikkan musim Aidilfitri tahun lalu," katanya.

Khirudin juga mengingatkan mereka yang bercuti dan pulang ke kampung supaya memastikan bekalan elektrik ditutup bagi mengelak berlakunya litar pintas.

Katanya, langkah meninggalkan kunci simpanan kepada jiran juga wajar diamalkan bagi memudahkan pihak bomba melakukan kerja pemadaman jika berlaku kebakaran.

0 comments: