Followers

Tuesday, September 8, 2009

Sabah&Sarawak: SAPP dakwa satu pertiga penduduk Sabah miskin

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) semalam mendakwa hampir satu pertiga daripada penduduk Sabah masih dibelenggu masalah kemiskinan, sekali gus menjadikannya kekal antara negeri paling miskin di Malaysia.

Timbalan Presidennya yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun, berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku pada usia kemerdekaan negara mencapai 52 tahun.

“Hampir 24 peratus penduduk Sabah hidup di bawah paras kemiskinan atau lebih tepat lagi 24 daripada setiap 100 rakyat negeri ini adalah miskin.

"Jika dibandingkan dengan negeri termiskin di Semenanjung, iaitu Kelantan yang ditadbir pembangkang sejak lebih sedekad lalu, peratus kemiskinan di Sabah jauh lebih tinggi sedangkan di Kelantan hanya tujuh peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan Ramadan kepada penduduk Kampung Lokub, Menggatal, di sini semalam.

Hadir sama, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee; Timbalan Presiden SAPP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Datuk Liew Teck Chan; Timbalan Pengerusi Tetap SAPP, Awang Talip Awang Bagul dan Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Shamsuddin Awang Aman.

Eric mendakwa, kemiskinan di Sabah tidak mampu dikurangkan kerana pemimpin kerajaan tidak mengambil tindakan yang didakwanya benar-benar berkesan.

Beliau mendakwa, sejak SAPP keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN), suara pemimpin parti itu mula mendapat perhatian pemimpin pusat.

Katanya, SAPP juga berusaha menarik perhatian pemimpin pusat supaya mengambil tindakan lebih berkesan bagi mengatasi masalah peningkatan penduduk di negeri ini yang 100 peratus lebih tinggi berbanding pada peringkat nasional.

Jumlah penduduk Sabah dari 1970 hingga 2000 meningkat 285 peratus manakala di Semenanjung hanya 116 peratus dan Sarawak 106 peratus.

"Punca sebenar peningkatan luar biasa ini tidak dijelaskan secara terperinci walaupun semua pihak tahu bahawa kehadiran pendatang tanpa izin di negeri ini terlalu ramai sejak berdekad dulu.

"Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM50 juta untuk menyelesaikan masalah itu tahun lalu tetapi hingga sekarang masih tidak ada perubahan ketara dapat dilihat," katanya.

0 comments: