Followers

Tuesday, September 8, 2009

Sabah&Sarawak: Dunia kesusasteraan Sabah kehilangan Amil Jaya, Rabu lalu

DUNIA kesusasteraan dan bahasa di Sabah kehilangan nama besar dengan kembalinya penulis tersohor kelahiran negeri itu, Datuk Mohd Ismail Abbas, ke Rahmatullah akibat komplikasi jantung di kediamannya di Kampung Bunga, Tenghilan, Tuaran, 2 September lalu.

Kehilangan Allahyarham yang banyak menyumbang ke arah keperkasaan kesusasteraan dan bahasa di negeri itu, bukan hanya berbekam di hati rakan seperjuangan, malah turut diratapi setiap anak didiknya dalam arena berkenaan.

Mohd Ismail atau nama penanya, Amil Jaya, 70, memperjuangkan sastera dan bahasa Melayu hingga ke hujung hayatnya kerana tokoh prolifik itu ingin melihat dunia kesusasteraan dan bahasa di Sabah mekar seiring usia.

Anak kelahiran Kampung Pirasan, Kota Belud, Sabah itu sememangnya aktif berkarya secara konsisten. Dalam perkembangan sastera dan bahasa Sabah, Amil Jaya mengukir nama sebagai penulis menerusi bakat, keinginan dan cita-cita yang dipupuk sejak sekolah rendah.

Kesungguhan meluap-luap Allahyarham disuburkan oleh keresahan dan desakan berfikir yang menggelodak dalam dirinya. Semua itu dizahir menerusi pengalaman ketika penjajahan Inggeris, peningkatan kosa kata bahasa Melayu, pengamatan dan penghayatan kepada aspek sosio-politik-ekonomi dan budaya.

Amil Jaya adalah antara tokoh yang menyemarakkan fungsi Badan Bahasa Sabah (Bahasa), bermula sebagai ahli biasa pada 1972, Allahyarham dipilih menganggotai jawatankuasa tertinggi badan itu hingga 1989 sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua Bahasa.

Ketika gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah, Amil Jaya turut terbabit bersama-sama Datuk Jamdin Buyong, Datuk Dzulkifli Abdul Hamid dan seluruh ahli Bahasa, mendesak menerusi seminar supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, di Sabah.

Hasrat itu tercapai apabila bahasa Melayu diumumkan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, di Sabah pada 31 Ogos 1973 oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun, sempena perayaan 10 tahun Sabah di dalam Gagasan Malaysia.

Sebagai penulis pula, Amil Jaya menghasilkan tiga novel persoalan berkisar konflik masyarakat pribumi Sabah, bermula daripada permusuhan tradisional berhubung antara etnik Kayan, Melanau, Kelabit, di Sarawak dalam novel Ngayau; konflik etnik Bajau dan Dusun dalam Bagaton dan konflik ras Kadazan dan Bajau dalam novel Cerah.

Tiga novel remajanya - Yanti Anak Laut, Herwan Anak Kembara dan Periuk Kera Raksasa - mengetengahkan unsur kembara, lasak dan keberanian di kalangan remaja.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia kesusasteraan, Amil Jaya tidak banyak menulis cerpen. Difahamkan, hanya 30 cerpen Allahyarham diterbitkan dalam pelbagai akhbar dan majalah.

Allahyarham adalah penerima penghargaan penulis pada 1987 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah diberi kerajaan negeri pada 1990. Berdasarkan kecemerlangan menyemarakkan dunia kesusasteraan Melayu, Amil Jaya dipilih penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Bangkok pada 1992.

Amil Jaya memulakan pendidikan pada 1952 dan menamatkannya di Sekolah Rendah Kerajaan Tenghilan, Sabah pada 1954. Walaupun memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang, Allahyarham tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah Inggeris kerana kemiskinan keluarga.

Pada 1962, Allahyarham bertugas sebagai guru pelatih di Sekolah Sukarela Rakyat di Kampung Wangkod, Tenghilan. Selain menjadi guru pelatih, Amil Jaya diberi kepercayaan selaku guru besar dan turut menjadi satu-satunya guru di sekolah itu yang mengajar murid darjah satu hingga darjah enam.

Sepanjang menjadi menjadi guru di sekolah itu, Amil Jaya berusaha meningkatkan pencapaian akademik, termasuk menghadiri kelas bahasa Inggeris di Tamparuli untuk guru.

Kerana semangat tinggi untuk mendapat pendidikan lebih baik, Allahyarham sanggup meredah hutan lebih tiga jam awal Subuh dari rumahnya menuju jalan raya di Tenghilan hingga lulus cemerlang tahap sijil Teaching English as a Foreign Language (TEFL).

Allahyarham diterima sebagai pelajar luar kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1976 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1982.

Amil Jaya bersara daripada jawatan Pengarah DBP Sabah pada 1994. Karya dan jasanya akan terus subur serta sebati di hati mereka yang ditinggalkan.

0 comments: