Followers

Sunday, August 9, 2009

'Selesai dulu status Yayasan'

'Selesai dulu status Yayasan'

KOTA KINABALU 8 Ogos - Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat perlu menyelesaikan isu berkenaan status Yayasan Amal Thean Hou Kudat dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung pembinaan patung Ma Tzu di Kudat.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Kah Kiat berhak untuk terus mengemukakan rayuan selepas samannya terhadap beliau ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu lalu berhubung pembinaan patung itu.

''Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia adalah kes mahkamah. Tetapi beliau punya hak mahu teruskan rayuan ke atas pembinaan patung Ma Tzu.

''Cuma, nasihat saya ialah beliau perlulah mengurus dan menyelesaikan yayasan itu kerana ia bukan persatuan yang sah," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan Kah Kiat yang dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan di sini menolak saman berkenaan.

Terdahulu, Musa merasmikan pelancaran Bulan Kemerdekaan Sutera Harbour Resort 2009 di Sutera Harbour Marina Golf & Country Club di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang Eng Yin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim; Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Masrani Paiman dan menteri-menteri Kabinet negeri.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Rabu lalu menolak saman berkenaan yang diputuskan sebulat suara oleh Datuk Md. Raus Sharif, Datuk Abdul Hamid Embong dan Datuk Sulong Matjeraie.

Kah Kiat yang juga Penasihat Parti Liberal Demokratik (LDP) mengesahkan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan di sini yang mengenepikan saman beliau terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Menurutnya, beliau mempunyai alasan kukuh untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan dan yakin ia akan mendapat pembelaan.

Isu pembinaan patung Ma Tzu menjadi pertikaian hangat apabila Kah Kiat memfailkan saman terhadap Musa, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K.Y Mustafa; bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ujang Sulani dan Majlis Perbandaran Kudat.

Tindakan saman itu diambil berhubung keputusan kerajaan negeri untuk menarik balik kebenaran yang diberikan kepada Yayasan Amal Thean Hou Kudat bagi membina patung tersebut

0 comments: