Followers

Monday, August 3, 2009

Sarawak siasat SMS fitnah sembunyi kes H1N1: Chan

MIRI: Sarawak akan menyiasat secara terperinci laporan berunsur fitnah yang disebarkan secara meluas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa kerajaan negeri menyembunyikan fakta kes penularan wabak Influenza A (H1N1).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata siasatan akan dilakukan dengan kerjasama polis dibantu anggota Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk mengesan dalang di sebalik fitnah itu.

Beliau berkata, kerajaan mengambil berat perbuatan negatif itu kerana ia boleh mencetuskan panik kepada rakyat Sarawak.

"Kerajaan sudah melakukan yang terbaik. Tiada sebarang faedah untuk menyembunyikan kes berkenaan," katanya selepas menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di pejabat SUPP di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam yakin pihak berkuasa mampu mengesan identiti pengirim asal SMS berkenaan dengan menyiasat nombor telefon pengirim.

Chan menyifatkan pengirim SMS berkenaan sebagai penakut dan 'pembuat kecoh', kerana tindakan berkenaan boleh mengakibatkan perasaan takut di kalangan orang ramai.

"Saya marah dengan berita palsu ini. Jangan sebarangan sebarkan khabar angin untuk menakutkan orang ramai. Tindakan ini tidak betul," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak berniat menyembunyikan fakta kes penularan H1N1 kerana ia bukan saja dikhuatiri mampu mencetuskan panik kepada rakyat Sarawak, malah memburukkan lagi situasi penularan wabak maut itu.

Katanya, kerajaan sekarang berusaha meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai bahaya H1N1 termasuk wabak lain seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Mengenai perkembangan terkini wabak H1N1 di Miri, Chan berkata, Hospital Miri mengesahkan 35 kes H1N1, 14 pesakit sudah ditahan dan dikuarantin.

Beliau berkata, hospital sama menerima dua kes H1N1 baru membabitkan seorang ibu yang baru melahirkan bayi perempuan, yang situasinya masih kritikal.

"Bayi dilahirkan wanita berkenaan sihat. Saya juga berharap ibu bayi itu akan dapat bertahan dan selamat," katanya.

0 comments: