Followers

Monday, August 3, 2009

Budak 11 tahun korban keenam


ORANG ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan H1N1 di Hospital Melaka.

Mangsa masuk Hospital Sultanah Aminah Rabu lalu kerana demam

KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berusia 11 tahun menjadi mangsa korban keenam jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) di negara ini apabila meninggal dunia ketika di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, 8.30 pagi semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan pada 29 Julai lalu dengan simptom demam selama satu hari, tanpa simptom batuk dan tanda lain gangguan pernafasan.

"Ketika dalam rawatan, keadaan pesakit bertambah tenat dan dimasukkan ke ICU pada 30 Julai lalu. Hasil pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai jangkitan paru-paru dan myocarditis.

"Pesakit disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) pada jam 11 pagi 1 Ogos (kelmarin). Akibat daripada komplikasi jangkitan, pesakit disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pagi 2 Ogos (semalam) ketika dalam rawatan di ICU," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Berikutan perkembangan terbaru itu, Malaysia sehingga semalam mencatatkan jumlah terkumpul sebanyak 1,429 kes dengan enam kematian. Daripada jumlah itu, 1,394 kes (98 peratus) sudah sembuh, manakala hanya 19 kes (satu peratus) pula sedang menerima rawatan antiviral di hospital dan lapan daripadanya berada di ICU. Sepuluh orang lagi (satu peratus) sedang menerima rawatan antiviral di rumah.

Bagi memastikan rawatan awal dengan antiviral influenza dapat diberikan segera bagi mereka yang berisiko tinggi dan menunjukkan simptom jangkitan influenza, Dr Mohd Ismail berkata, Kementerian Kesihatan membuat tiga ketetapan serta-merta.

"Ketetapan itu ialah semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza serta berisiko (mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan imuniti rendah), hendaklah diberi rawatan antiviral serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan H1N1.

"Ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk kes yang dirawat di hospital dan pelajar, termasuk penuntut institusi pengajian tinggi harus mengelakkan diri daripada menghadiri kelas atau kuliah, termasuk aktiviti berkumpulan. jika mempunyai simptom influenza. Mereka hanya dibenarkan menghadiri aktiviti ini selepas satu hari disahkan bebas daripada jangkitan itu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lapan kluster baru H1N1 membabitkan Institut Kemahiran Belia Negara di Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis dan Pusat Latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim, Indera Mahkota, Pahang.

SMK Yu Yuan, Sandakan dan SMK Pasir Putih, Tawau, Sabah; SMK Undang, Rembau, Negeri Sembilan; Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sekakap, Mersing, Johor dan Universiti Malaya (UM) Nilam Puri, Kelantan.

Mengenai situasi global sehingga semalam pula, Dr Mohd Ismail berkata, sejumlah 183,826 kes dengan 1,301 kematian dilaporkan dari 167 negara, iaitu peningkatan sebanyak 940 kes dengan 95 kematian berbanding hari sebelumnya. Pertambahan negara ialah Channel Island dan Moldova.

0 comments: