Followers

Sunday, October 24, 2010

Program transformasi dijangka pacu Malaysia maju: Pelabur

KUALA LUMPUR: Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan Program Transformasi Ekonomi : Hala Tuju Untuk Malaysia".

Program Transformasi Ekonomi (ETP) itu menurut Presiden Persatuan Pelabur Malaysia akan mengangkat pembangunan ekonomi negara, sekaligus meletakkan negara pada landasan yang kukuh untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.
Presidennya, Datuk Dr P H S Lim, berkata :"Kita kini hanya sedekad untuk melangkah ke sempadan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu merealisasikan Malaysia sebagai negara maju dengan perkapita tinggi, rakyat berilmu, berbudaya, sihat, bertamadun tinggi dan hidup mewah.
Najib yang juga Menteri Kewangan, akan melancarkan maklumat lanjut berkaitan 131 projek permulaan (EPP) dan 60 Peluang Perniagaan (BO) menerusi pelan tindakan itu yang meliputi 12 bidang ekonomi utama negara (NKEA).

"Projek-projek ini sudah pasti akan menyumbang beberapa trilion ringgit kepada Malaysia, lebih banyak berbanding permodalan Bursa Malaysia yang kini sebanyak RM1.1 trilion.

"Sektor swasta akan memain peranan penting sebagai enjin pertumbuhan dengan sokongan pelabur swasta," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Lim, kerajaan mengenal pasti beberapa projek utama pembangunan strategik termasuk Aliran Transit Berkapsiti Tinggi (RM40 bilion), Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (RM26 bilion), pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh (RM10 bilion) dan Warisan Merdeka (RM5 bilion).
Projek lain termasuk pembinaan lebuh raya, pusat perubatan dan hospital pengajar, pemulihan sungai, industri bioteknologi, industri farmaseutikal, industri pelancongan perubatan.

Lim berkata Malaysia mesti mencatat keluaran dalam negara kasar 7 peratus setahun bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Faktor ini banyak bergantung terhadap persekitaran global memandangkan Malaysia masih merupakan negara berorientasikan eksport.

"Kami terpencil sepenuhnya dan banyak perkara diluar kawalan pengeksport dan pengeluar kita," katanya.

Beliau juga berkata faktor permintaan dalam menggunakan sepenuhnya kapasiti bekalan juga sangat penting.

"Bekalan dan permintaan mesti sepadan. Jika tidak gelembung akan meletus seperti yang kita alami semasa krisis kewangan Asia pada 1997. Jika tidak, pembangunan tidak dapat bertahan.

Lim juga berkata, bagi merealisasikan negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlukan mata wang yang bernilai kukuh memandangkan mata wang yang kukuh dapat menjadikan negara lebih kaya berdasarkan nilai aset yang lebih tinggi.

"Ringgit Malaysia masih di bawah nilai walaupun sudah mengukuh daripada RM3.80 kepada RM3.04 Tahun ini, ia meningkat 11 peratus berbanding dollar Amerika Syarikat," katanya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget