Followers

Monday, October 18, 2010

Malaysia bukan negara eksport modal, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia bukan negara pengeksport modal tetapi usaha perlu diteruskan untuk menyokong industri domestik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata adalah penting untuk membolehkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur di luar negara terutamanya jika peluang dalam negara agak terhad.
"Saya percaya jika kita mempunyai peluang dalam negara, adalah lebih baik untuk tidak mengeksport modal. Kita bukan negara pengeksport modal, jadi kita seharusnya membelanjakan kebanyakan wang kita dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang bermula esok.
Semasa memberi contoh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dr Mahathir berkata kumpulan berkenaan yang mempunyai lebih RM300 bilion dalam saiz dana, mungkin mendapati sukar untuk memadankan pelaburan yang sesuai dengan semua dananya.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat kepada pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, dan perbadanan minyak negara, Petronas, berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan GLIC meningkatkan pelaburan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diuruskan di luar negara daripada hanya tujuh peratus pada masa ini.

Sehingga 31 Mac, jumlah saiz dana KWSP dianggarkan sebanyak RM402 bilion, dengan kebanyakannya dilaburkan dalam bon dan ekuiti dalam negara.

Semasa ditanya sama ada langkah berkenaan akan bertentangan dengan usaha kerajaan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata: "Ia boleh dikatakan bertentangan."
"Saya sentiasa percaya yang kita tidak memerlukan FDI sekarang ini. Kita perlu mempunyai sokongan terhadap industri tempatan...itu pandangan saya," kata Dr Mahathir yang menerajui Malaysia selama 22 tahun.

Semasa pembentangan Bajet 2011, kerajaan mengumumkan yang GLIC akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran.

GLIC juga dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi meneroka peluang pulangan pelaburan yang lebih baik.

Sementara itu, Dr Mahathir menolak dakwaan oleh sesetengah pihak yang Bajet 2011 adalah "bajet beliau" kerana melibatkan satu lagi projek pencakar langit, "Warisan Merdeka", yang melibatkan projek pembangunan bersepadu termasuk pembinaan menara 100 tingkat pada kos RM5 bilion.

"Saya rasa jika seseorang yang mahu berbelanja dan menganggapnya bajet saya...itu salah.

"Saya rasa kerajaan merasakan memerlukannya, jadi mungkin terdapat alasan untuk itu. (Tetapi) apa yang menarik bagi saya ialah wang yang dibelanjakan untuk membina menara ini.

"Apabila membelanjakan wang, pekerjaan diwujudkan dan peluang untuk menjalankan perniagaan. Saya tidak tahu sama ada perlu menara 100 tingkat atau tidak...tetapi membelanjakan wang suatu yang baik.

"Bagi saya, saya selalu membelanjakan wang sehingga selepas saya melepaskan jawatan, mereka tidak ada wang langsung. Malah mereka tidak membayar gaji penjawat awam," kata beliau secara sinis, yang menyebabkan wartawan ketawa.

Terdahulu Dr Mahathir menyampaikan ucaptama bertajuk "Pewujudan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru."

Persidangan sulung diadakan bersempena perhimpunan agung Umno yang berlangsung selama lima hari dan berakhir Sabtu ini.

Kira-kira 400 peserta dari 20 negara termasuk 54 dari kelab Umno seberang laut menghadiri persidangan berkenaan. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget