Followers

Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Harga saham terus stabil

KUALA LUMPUR: Harga saham dijangka terus berada di tahap stabil dengan kecenderungan meningkat minggu depan manakala indeks petunjuk pasaran FMB KLCI dijangka menguji semula paras psikologi 1,500, kata peniaga.

Mereka berkata minat belian dijangka terus tertumpu pada saham pembinaan, minyak dan gas, hartanah serta kewangan di tengah-tengah langkah positif yang diumumkan di bawah Bajet 2011, semalam.
"Pelabur juga dijangka terus menyambar saham berkaitan perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi," kata seorang peniaga.
Antara tumpuan utama di bawah Bajet 2011 ialah projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan pelaburan swasta RM40 bilion, peruntukan RM146 juta untuk menyokong industri minyak, gas dan tenaga, satu lagi pembangunan bangunan pencakar langit yang menelan kos RM5 bilion serta langkah-langkah menggiatkan semula pasaran modal menerusi liberalisasi keperluan pegangan ekuiti dan had pelaburan.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata keseluruhan kenaikan itu mungkin terhad disebabkan berapa aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah keadaan tidak menentu dalam pasaran global.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) melepasi paras psikologi 1,500 pada Khamis, disokong oleh belian berterusan dalam sektor perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 8.45 mata kepada 1,489.86 daripada 1,481.41 pada Jumaat minggu lalu.
Indeks FMB Emas meningkat 95.37 mata kepada 10,043.32, FBM70 melonjak 216.20 mata kepada 10,139.55 dan Indeks FBM Ace menokok 302.59 mata kepada 4,322.77.

Indeks Kewangan turun 83.59 mata kepada 13,414.04 tetapi Indeks Perusahaan naik 45.77 mata kepada 2,876.94 dan Indeks Perladangan meningkat 445.57 mata kepada 7,366.28.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 5.76 bilion saham bernilai RM9.33 bilion berbanding 5.23 bilion saham bernilai RM8.05 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 4.64 bilion saham bernilai RM9.07 bilion daripada 4.22 bilion unit bernilai RM7.83 bilion sebelumnya.

Jumlah daganagn di Pasaran ACE juga meningkat kepada 491.90 juta saham bernilai RM126.62 juta daripada 384.84 juta saham bernilai RM87.97 juta pada Jumaat sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menokok 593.66 juta unit bernilai RM112.24 juta berbanding 592.1 juta bernilai RM115.48 juta sebelumnya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget