Followers

Monday, October 11, 2010

Dewan Rakyat belum terima notis kematian wakil Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Notis kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, belum dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana Dewan Rakyat masih belum menerima notis dan surat kematian secara rasmi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar, berkata beliau yakin akan menerima notis tersebut daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) atau keluarganya dalam masa sehari dua lagi.
"Kebiasaannya apabila berlaku kematian Ahli Parlimen, pihak yang berwajib iaitu parti atau keluarga akan beri notis kepada Parlimen secara bertulis bersama sijil kematian.
"Tetapi saya cukup yakin Dewan (Rakyat) akan menerima notis tersebut selewat-lewatnya lusa, dan kemudian baru kita dapat hantar ke SPR supaya dapat ditentukan tarikh penamaan calon, pilihan raya dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada kejadian di Kota Kinabalu Sabtu lalu, Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong yang diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin, yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing, dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi. - BERNAMA

0 comments: