Followers

Saturday, October 9, 2010

Pemuda MCA gesa guna Twitter, Facebook dekati pengundi

KUALA LUMPUR: Ahli Pemuda MCA perlu celik internet dan bertindak memulakan hubungan serta ikatan dengan pengundi melalui kuasa internet, demikian disarankan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam arus politik kini dan bagi menangani politik semasa, beliau berkata Pemuda MCA perlu inovatif dalam usaha ke arah memenuhi keperluan rakyat, khasnya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan menjelang.
Justeru, katanya, Pemuda MCA perlu melibatkan diri dalam medium seperti Twitter dan Facebook untuk mendekati pengundi memandangkan kempen pilihan raya umum yang akan datang amat bergantung kepada teknologi berkenaan.
“Oleh itu, kita mestilah mengetahui dan mengambil berat tentang isu-isu ini. Saya menggesa kesemua yang berada di sini yang belum menggunakan media sosial sebagai alat bagi mendekati rakyat jelata supaya mula berbuat demikian,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-46 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Liow yang juga Menteri Kesihatan menyarankan supaya Pemuda MCA menggunakan peluang pada perhimpunan ini untuk membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Katanya Pemuda perlu memanfaatkan faktor-faktor positif seperti pertumbuhan ekonomi yang semakin baik dan perbalahan dalaman parti-parti politik pembangkang untuk meraih semula sokongan pengundi.

Katanya isu yang menjadi perhatian rakyat seperti alam sekitar, tenaga diperbaharui dan gaya hidup sihat perlu diberi keutamaan.
Beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa MCA tidak berani bersuara, khasnya mengenai isu perkauman, kerana MCA memilih untuk memperjuangkan isu-isu tersebut dalam Kabinet dan dalam semangat keluarga Barisan Nasional.

“Dengan rasa tanggungjawab, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa pemimpin MCA menpunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan timbalannya dan kita mempunyai persefahaman dalam segala langkah dan rancangan yang sedang diambil untuk membawa perubahan ke arah kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Kita bukan tidak nampak gangguan pembangkang, tetapi sedar bahawa pertelingkahan yang berterusan bukan sahaja akan mengganggu rakyat, tetapi juga akan menghalang pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Liow turut mengingatkan Pemuda MCA mengenai peranan mereka dalam pembangunan negara dan pelan-pelan transformasi yang didokongi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, masa 10 tahun yang akan datang adalah tempoh paling getir bagi Malaysia untuk membuat lonjakan dan merealisasikan agenda pembangunannya.

“Ini satu lonjakan luar biasa yang memerlukan komitmen dan kerjasama dari semua pihak untuk merealisasikan transformasi negara kita dari sebuah negara membangun ke sebuah negara maju,” katanya. - BERNAMA

0 comments: