Followers

Thursday, October 7, 2010

Jangan dekati mereka yang gadai bangsa kerana politik: Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menasihatkan Orang Besar Daerah supaya menjauhkan diri daripada pihak yang sanggup menggadaikan bangsa sendiri demi mencapai cita-cita politik mereka.
Baginda mahu supaya Orang Besar Daerah menumpukan perhatian penuh kepada tugas masing-masing demi kebaikan rakyat dan biarlah masalah politik dikendalikan oleh ahli politik.
"Sebagai wakil Beta di daerah-daerah, mereka (Orang Besar Daerah) hendaklah berkecuali dalam apa jua aktiviti politik kepartian dan sentiasa bersikap adil dan jujur untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan bangsa supaya dapat terus kukuh dan bersatu dalam menikmati kesejahteraan dan kemakmuran," titahnya pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Daerah, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di Istana Bukit Kayangan.
Menurut baginda, Orang Besar Daerah sewajarnya menasihatkan rakyat supaya jangan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh mengakibatkan salah faham dan perpecahan kaum.

Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Selangor berharap setiap Orang Besar Daerah menjadi “mata dan telinga” baginda bagi mengawasi pentadbiran dan pengurusan setiap masjid dan surau di daerah masing-masing supaya kesucian tempat beribadat itu tidak dicemari perkara yang bertentangan dengan ajaran dan tuntutan Islam.

Baginda turut menyeru Hakim Mahkamah Syariah di negeri itu supaya menyelesaikan setiap kes yang dihadapkan di mahkamah dengan segera terutamanya yang membabitkan hal ehwal kekeluargaan.

"Percepatkanlah tempoh perbicaraan setiap kes demi menjaga kepentingan semua pihak terbabit bagi mengelak berlakunya gejala maksiat serta tidak bermoral sekiranya jangka masa kes-kes itu berlanjutan," katanya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget