Followers

Wednesday, October 6, 2010

EU-Malaysia akan mulakan rundingan FTA Disember

BRUSSELS: Malaysia dan Suruhanjaya Eropah melancarkan rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU)(MUEFTA) dan Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan (PCA) di sini pada Selasa, yang menandakan kerjasama baharu antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rundingan itu akan dimulakan pada Disember ini, dan menyuarakan harapan supaya ia diselesaikan dalam tempoh 18 bulan atau tidak lewat dari dua tahun.
"Mandat saya kepada mereka ialah supaya kreatif dalam mencari penyelesaian dan dapat memuktamadkannya dalam tempoh yang ditetapkan," katanya pada persidangan media bersama dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso di sini.
Najib yang sebelum itu bermesyuarat dengan Barroso, berkata beliau yakin kedua-dua perjanjian itu akan meletakkan hubungan Malaysia-EU "pada lonjakan yang tepat."

Perdana Menteri berkata Malaysia berpandangan bahawa EU adalah rakan yang bermakna.

Barroso pula berkata FTA akan memberi rangsangan sebenar untuk perdagangan antara EU dan Malaysia dan menyuarakan harapan supaya para pegawai kedua-dua pihak dapat mencapai keputusan konkrit.

EU menyumbang 11.2 peratus dagangan global Malaysia dan 10.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan dari EU ke Malaysia sehingga 31 Dis tahun lepas bernilai US$13.6 bilion, dengan sebahagian besarnya dalam sektor pekilangan.

Dalam kumpulan serantau, EU merupakan sumber terbesar FDI Malaysia.

PCA dijangka memperkukun lagi kerjasama antara Malaysia dan EU dalam bdiang seperti perhubungan politik, perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, kesihatan, tenaga, pengangkutan, pertanian, perbankan, maritim dan bidang lain menerusi sesi dialog.

MUEFTA dijangka meningkatkan akses peluang pasaran untuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, meliberalisasikan regim pelaburan di Malaysia dan EU selain menyediakan kerjasama ekonomi. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget