Followers

Tuesday, October 5, 2010

Malaysia bangkitkan isu kesan ICT terhadap nilai budaya di ITU

GUADALAJARA (Mexico): Kesan teknologi maklumat terhadap nilai budaya adalah antara isu pokok yang akan dibangkitkan oleh Malaysia pada persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 yang bermula di sini, semalam.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata isu jenayah siber serta pencerobohan terhadap peribadi individu akan turut dibawa oleh Malaysia pada persidangan yang dihadiri lebih 2,000 peserta dari 160 negara.
Beliau berkata, pihaknya akan turut mengetengahkan aspek perundangan sama ada undang-undang sedia ada, termasuk undang-undang tempatan, bagi menangani jenayah siber tanpa bantuan tenaga antarabangsa.
"Ini adalah sebahagian dari isu yang harus kita ketengahkan dan semoga mendapat sokongan dari pihak ahli," katanya selepas perasmian persidangan itu oleh Presiden Mexico Felipe Calderon di Guadalajara Expo Centre di sini.

Rais dijangka berucap pada sesi pleno persidangan itu Selasa pagi.

Persidangan empat tahun sekali itu yang akan berlangsung sehingga 22 Okt ini turut menyaksikan pemilihan ahli Majlis Tertinggi ITU serta keahlian Lembaga Badan Pengawalseliaan Radio (RRB).

Plenipotensiari ITU ialah sidang global yang diadakan empat tahun sekali bagi menetapkan strategi ITU, agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang bertanggungjawab memperuntukkan antara lainnya piawaian teknikal untuk semua jaringan ICT dan membangun dan melaksanakan strategi untuk mengurangkan jurang digital.
Pemilihan lima ahli eksekutif ITU bersama pemilihan ahli RRB dan negara ahli yang akan terdiri daripada ahli Majlis ITU bagi tempoh empat tahun sehingga Plenipotensiary berikutnya, akan berlangsung pada Khamis.

Ia bermula dengan pemilihan Setiausaha Agung dan Timbalan Setiausaha Agung dan seterusnya Pengarah Biro Perhubungan Radio, Biro Pempiawaian Telekomunikasi dan Biro Pembangunan Telekomunikasi.

Seramai 21 calon bertanding merebut 12 kerusi RRB manakala calon dari 65 negara bertanding untuk kerusi Majlis ITU.

Jumlah kerusi yang bertanding bagi ahli Majlis berkemungkinan meningkat pada persidangan ini kerana terdapat beberapa cadangan dari negara ahli ITU.

Kemasukan Timor Leste sebagai ahli baru ITU pada Ogos 2010 menjadikan jumlah keseluruhan ahli ITU kepada 192.

Malaysia, yang telah dipilih menganggotai Majlis Tertinggi ITU sejak tiga penggal berturut-turut bagi mewakili rantau Asia dan Australasia, akan turut mempertahankan jawatan.

Begitu juga dengan kedudukan di RBB, Malaysia yang diwakili Dr Ali Ebardi telah terpilih buat pertama kali pada persidangan lepas di Turki pada tahun 2006, akan mempertahankan kedudukan tersebut.

Ali, yang juga Naib Presiden Measat Satellite Systems Sdn Bhd, adalah juga Pengerusi RBB.

Rais berkata, jika Malaysia tidak mendapat kedudukan utama bagi kerusi Majlis Tertinggi ITU, ianya tidak menjadi isu memandangkan Malaysia telah lama diberi tempat untuk menduduki kerusi tersebut.

"Malah Malaysia akan terus mempelopori dan memperjuangkan isu mengenai teknologi maklumat," katanya.

Rais berkata, pencapaian Malaysia dalam bidang ICT amat membanggakan, dan akhir tahun ini kadar penembusan internet akan melebihi 50 peratus dan ia adalah pencapaian yang sangat tinggi terutama dengan pembabitan penduduk di luar bandar.

Beliau juga berkata, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Malaysia perlu membuat jaringan dengan pengawal selia yang lain bagi meningkatkan lagi kedudukan negara dari segi kesahihan.

Buat pertama kali pada persidangan ini ia akan menampilkan sesi debat antara pakar dari pihak kerajaan dan industri bagi membincangkan isu seperti sekatan kemasukan jalur lebar, peranan penting ICT untuk mengatasi perubahan iklim dan keselamatan siber. - BERNAMA

0 comments: