Followers

Thursday, September 23, 2010

Agong nasihat rakyat Malaysia di Kanada tingkatkan prestasi diri

TORONTO: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menyeru rakyat Malaysia di Kanada supaya terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri seiring dengan kemajuan negara tersebut.

Titah Seri Paduka, keberangkatan baginda ke Universiti McGill di Montreal dan Universiti Guelph di sini telah dapat memberi gambaran yang jelas mengenai komitmen kerajaan Kanada dalam bidang pendidikan.
"Beta juga percaya bahawa negara ini mempunyai banyak potensi untuk bertambah maju di masa hadapan. Jesteru Beta menyeru rakyat Malaysia yang berada di sini dapat mengambil peluang untuk terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan kemajuan negara," titah baginda sempena majlis santapan malam bersama masyarakat Malaysia di Villa Malaysia di sini hari ini.
Tuanku Mizan berada di sini dalam rangka Lawatan Tugas Khas ke Kanada selama enam hari.

Baginda juga melahirkan rasa sukacita apabila difahamkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di negara ini adalah terdiri dari kalangan kumpulan profesional, ahli perniagaan serta para penuntut di universiti serata Kanada.

Baginda juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.

"Pada masa yang sama, beta berharap saudara dan saudari sekalian akan terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan," titah baginda.
Terdahulu Tuanku Mizan sempat mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia di Kanada.

"Sesungguhnya beta serta seluruh anggota rombongan dari Malaysia berasa amat gembira kerana berpeluang untuk bertemu dengan saudara dan saudari sekalian pada bulan syawal yang mulia ini dan membolehkan beta mengetahui tentang hal-ehwal kebajikan dan keadaan rakyat Malaysia di sini, " titah baginda.

Baginda bertitah lawatan ke Kanada ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dan kerjasama antara Malaysia dengan Kanada yang merupakan sebuah negara sahabat bagi Malaysia.

Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Selwyn Das, dalam ucapannya menyeru kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Kanada agar dapat bersama-sama mengukuhkan dan meningkatkan imej Malaysia di dalam semua bidang terbabit khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan serta pelancongan.

Beliau juga mengingatkan semua rakyat Malaysia juga tidak sekali-kali melupakan tanah air dan sentiasa bersedia menyumbang kepada pembangunan negara melalui kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang dipunyai oleh mereka khususnya bagi memastikan Gagasan 1Malaysia boleh direalisasikan.

"Pada masa sama, saya juga berharap rakyat Malaysia di Kanada akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama yang penuh kepada usaha-usaha Suruhanjaya Tinggi untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Kanada," katanya.

Terdahulu hari ini, Tuanku Mizan melawat Universiti Guelph di mana baginda diberi taklimat mengenai kajian sains pemakanan dan pertanian termasuk inovasi Gen Biosteel, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System (SALSA).

Baginda turut dibawa melawat projek rumah hijau Salsa, iaitu projek penyelidikan yang bertujuan mengkaji teknologi pertanian di angkasa lepas. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget