Followers

Thursday, September 16, 2010

Siasatan kes Sosilawati tanpa unsur perkauman: KPN

BANTING: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berkata siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.
Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa, katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini sempena lawatan pertama beliau ke Selangor sebagai Ketua Polis Negara.
Pada sesi dialog itu beliau berkata siasatan terhadap kes-kes yang ada unsur perkauman seperti kes pembakaran gereja di Petaling Jaya dan surau di Johor dijalankan berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara bukannya polis.

Ismail berkata demikian selepas seorang daripada pemimpin masyarakat setempat membangkitkan isu mengapa kes surau di Negeri Sembilan yang dibaling cat dan botol arak tidak dibawa ke mahkamah sedangkan kes pembakaran gereja ada yang dihadapkan ke mahkamah.

Ismail turut mengarahkan polis Selangor termasuk daerah Kuala Langat supaya memantau peningkatan penglibatan golongan belia di daerah itu dalam kegiatan jenayah.

Sementara itu, Ismail berkata beliau akan melihat keperluan menambah anggota dan sokongan logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah itu dan keperluan meletakkan seorang Assisten Komisioner Polis bagi mengetuai polis di sana berbanding hanya seorang Superitendan ketika ini.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Bahagian MCA Kuala Langat, Datuk Eii Kim Hock yang menyatakan bahawa kekuatan polis di daerah itu perlu ditingkat memandangkan pembangunan pesat di daerah itu yang dikelilingi oleh Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan kawasan pesisiran pantainya yang panjang.

Beliau berkata penduduk di daerah itu juga kini berjumlah 200,000 orang.
Eii berkata beliau berharap kereta peronda polis di daerah ini ditingkatkan kerana kehadiran mereka dijalan raya melegakan hati penduduk dan mereka kini merasa yakin dan selamat dengan kehadiran polis.

Beliau turut berterima kasih dengan tindakan polis di Kuala Langat kerana berjaya membanteras kegiatan mesin judi di daerah itu dan memuji tindakan pantas polis dalam menyiasat kes pembunuhan Sosilawati walaupun semasa sambutan Hari Raya.

Ismail dalam pada itu berkata polis berjaya menurunkan kadar indeks jenayah di daerah itu sebanyak 14 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget