Followers

Saturday, September 11, 2010

Malaysia-Indonesia mampu jadi kuasa ekonomi

PAGOH: Malaysia dan Indonesia mampu menjadi kuasa ekonomi terbesar di rantau ini dan global sekiranya hubungan baik dalam semua bidang terutamanya dalam sektor perdagangan diteruskan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan positif ekonomi kedua-dua negara kini perlu dirangsang dengan menjalin lebih banyak kegiatan ekonomi bersama.
"Kita (Malaysia) merupakan pelabur ketujuh terbesar di Indonesia. Kalau pelaburan dapat berkembang, kedua-dua negara boleh berkongsi kekayaan yang ada.
"Malaysia dan Indonesia boleh jadi satu kuasa besar di rantau ini dan global, lebih banyak kebaikan kalau kita menjalin hubungan kerjasama," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Kompleks Seri Pekembar, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, ekonomi kedua-dua negara itu menunjukkan perkembangan positif khususnya Malaysia, selain kadar inflasi terkawal dan kedudukan mata wang Ringgit semakin kukuh.

Sejak akhir-akhir ini, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia tegang berikutan satu kejadian di sempadan maritim di kepulauan Riau pada 13 Ogos apabila polis marin Malaysia menahan tiga penguatkuasa perikanan Indonesia, manakala pihak berkuasa republik itu pula menahan tujuh nelayan Malaysia.

Bagaimanapun, semua yang ditahan itu dibebaskan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara pada 17 Ogos lalu.
Muhyiddin berkata, hubungan antara kedua negara masih baik dan rapat terutamanya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghubungi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan komitmen kedua-dua negara meneruskan hubungan akrab demi kesejahteraan bersama.

Semalam, Najib turut menghubungi Susilo untuk menyampaikan salam Lebaran sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Putrajaya.

"Hubungan baik antara dua pemimpin atasan ini perlu diteruskan di peringkat lain iaitu menteri kita dan mereka (Indonesia) diikuti dengan badan-badan korporat khasnya melalui Majlis Perdagangan Malaysia-Indonesia.

"Ini forum yang digunakan sebagai hubungan untuk perdagangan antara kedua negara ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, berkata tiada ada jalan lain untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul melainkan menerusi saluran diplomasi.

Tegasnya, sebarang masalah perlu dikawal segera supaya ia tidak berlanjutan atau menimbulkan sebarang prasangka dan prejudis antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia akan tetap memberi tumpuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan Indonesia pada masa depan. - Bernama

0 comments: