Followers

Friday, September 10, 2010

Tidak ada laporan demonstrasi terhadap Malaysia di Indonesia: Anifah Aman

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tidak ada kekacauan ditimbulkan terhadap rakyat Malaysia di Indonesia sejak Selasa lalu.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pagi ini.
"Sejak petang Selasa tidak ada yang berkumpul di hadapan bangunan kedutaan kita, saya gembira dan berharap suasana akan bertambah baik," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ahli Kabinet, di Sri Perdana di sini.
Anifah berkata, beliau juga sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan dari republik itu, Dr Marty Natalegawa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia terjamin.

"Apa yang berlaku di Jakarta hanya membabitkan sekumpulan kecil dan tidak mencerminkan polisi kerajaan Indonesia terhadap Malaysia atau majoriti rakyatnya," kata beliau.

Mengulas perkembangan terkini rayuan pengampunan untuk rakyat Sabah, Yong Vui Kong, yang dijatuhkan hukuman mati oleh Singapura atas kesalahan dadah, Anifah berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Singapura.

"Kita (kerajaan Malaysia) telah melakukan sedaya upaya untuk membantu Yong dan keluarganya dan kini kita cuma dapat menunggu hasil rayuan kita," kata Anifah yang telah menghantar sepucuk surat mengenai perkara itu kepada rakan sejawatannya di Singapura.
Yong, 22, dijatuhi hukuman mati pada 7 Januari tahun lalu selepas disabitkan kesalahan mengedar 47 gram dadah jenis diamorphine, mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura pada 13 Jun 2007.

Mahkamah Tinggi Singapura baru-baru ini menolak permohonan Yong untuk semakan semula kehakiman proses pengampunan itu. - Bernama

0 comments: