Followers

Wednesday, September 8, 2010

Enam maut nahas di Lahad Datu

TAWAU: Enam orang terbunuh manakala enam lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di KM35, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ASP Bong Kuet Khiun, berkata kejadian 10.25 pagi itu membabitkan sebuah bas mini, sebuah Perodua Viva, sebuah lori dan sebuah bas ekspres.
"Identiti tiga yang terbunuh sudah dikenal pasti iaitu penumpang Perodua Viva Azlan Aziz, 17, pemandu lori Norawi Madu, 37 dan anak lelakinya Mohamad Azrul, 14.
"Tiga lagi termasuk dua wanita adalah penumpang bas mini dan belum dikenal pasti, namun kesemua mereka mati di tempat kejadian, manakala enam mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dirawat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Bong berkata sebuah bas mini dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Kunak dipercayai cuba memotong Perodua Viva terbabit sebelum dirempuh bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

"Turut dirempuh bas ekspres berkenaan ialah Perodua Viva sebelum bas tersebut terbabas ke dalam gaung, manakala lori yang mengekori bas mini dan Perodua Viva turut terbabas ke dalam gaung dipercayai hilang kawalan selepas mengelak pelanggaran dengan bas ekspres," katanya. - BERNAMA

0 comments: