Followers

Tuesday, September 7, 2010

Musa kenang masa menyamar penarik beca

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang akan bersara pada 13 September ini berkata antara kenangan manis sepanjang 41 tahun perkhidmatannya ialah kejayaan memberkas seorang pengedar dadah semasa beliau menyamar sebagai seorang penarik beca.
"Kejayaan itu dicapai sekitar tahun 1981 dan 1982 semasa beliau bertugas di Pulau Pinang dalam satu operasi dadah, katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
"Itu (kenangan) paling manis kerana saya tangkap pengedar dadah semasa menyamar sebagai penarik beca," katanya.
Musa berkata, semasa bertugas di Pulau Pinang bersama-sama Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang pada masa itu baru sahaja menyertai polis, mereka turut menyamar sebagai penjual air tebu dalam usaha memberkas pengedar dadah di sana.

Mengenai rancangan beliau selepas bersara nanti, Musa berkata beliau akan berehat dan mungkin akan mengajar orang atau cucunya mengaji, selain daripada menjaga cucunya.

"Tak ada masalah, kita reda dengan apa yang Allah dah beri," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri ini, Musa berkata beliau akan mengerjakan umrah pada hari raya dan mahu berehat di Makkah.
Ditanya mengapa beberapa kekosongan jawatan seperti Ketua Polis Daerah Cheras yang sehingga kini belum diisi, Musa berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, beliau telah menghantar nama pegawai yang telah dicadangkan bagi mengisi kekosongan itu sejak November tahun lalu.

"Saya tak tahu mengapa tidak diisi. Saya tak mahu pula nanti orang kata saya tidak buat kerja, bukan? Saya dah hantar awal dulu," katanya. - BERNAMA

0 comments: