Followers

Sunday, September 5, 2010

Senarai projek RMK-10 diumum Oktober ini

KEPALA BATAS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata senarai bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) akan diumum selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bajet 2011 Oktober ini.
Beliau berkata senarai projek yang akan diumum itu hanya untuk tempoh dua tahun iaitu bagi 2011 hingga 2012.
"Kita akan buat pengumuman senarai itu untuk dua tahun sekali, ini adalah kali pertama kita buat begini kerana sebelum ini kita umumkan untuk lima tahun terus," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mengatakan senarai projek RMK-10 lewat diumum kerana ia sepatutnya diumum bulan lalu.

"Sebenarnya kita tidak lewat membuat pengumuman, kita awal beberapa bulan dari pelaksanaan rancangan, sebelum ini pengumuman dibuat pada tahun pertama rancangan itu contohnya untuk RMK-9 (dari 2006 hingga 2010) kita umumkan pada 2006," katanya.

Terdahulu, Nor Mohamed menyampaikan sumbangan hari raya untuk penduduk di kawasan Parlimen Tasek Gelugor. Sumbangan berjumlah RM25,500 itu dibuat dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara. - BERNAMA

0 comments: