Followers

Tuesday, August 24, 2010

Ringgit cermin kekuatan asas ekonomi Malaysia: Zeti

KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit mencerminkan sentimen asas dan pertumbuhan negara yang menggalakkan dalam separuh pertama tahun ini, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi iaitu 9.5 peratus dalam separuh pertama enam bulan tetapi ia menguncup sebanyak 5.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Kita menyaksikan ringgit mengukuh dalam tempoh ini (pertumbuhan dalam separuh pertama) yang mencerminkan perkembangan domestik, rantau dan pembangunan yang muncul dalam pasaran-pasaran kewangan utama," katanya.
Ringgit telah meningkat ke paras tinggi 13 tahun berbanding dolar AS.

Pada 9.19 pagi ini, ringgit diniagakan pada 3.1340/1370 berbanding dolar AS daripada penutup hari Isnin iaitu 3.1310/1330.

"Seiring dengan negara yang kian terbuka, ia mungkin "lemah" kepada perkembangan luar," katanya di luar majlis penyenaraian Sukuk Bank Pembangunan Islam yang bernilai RM1 bilion di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Zeti berkata, kemudahruapan yang amat ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa akan berterusan ekoran ketidaktentuan yang tercetus terutamanya daripada pembangunan di ekonomi-ekonomi maju.
Bagaimanapun, disebabkan hakikat yang mengekalkan pasaran yang teratur amat penting, bank pusat akan hanya campur tangan jika terdapat sebarang pergerakan mengejut ataupun berlebihan.

"Kami akan berada di situ bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur tetapi kami tidak mempunyai sasaran dan kami tidak menjejaskan trend pendasar mata wang," katanya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata yang bank pusat tidak melihat keperluan untuk membuat sebarang perubahan di dalam komposisi rizab mata wang negara.

"Kita kekal selesa dengan komposisi mata wang kita. Kita tidak melihat keperluan untuk sebarang perubahan berasaskan kepada persekitaran semasa.

"Kita percaya adalah penting untuk mengambil tinjauan sederhana hingga panjang dan tidak terganggu oleh perkembangan yang telah mengambil tempat baru-baru ini," katanya. - BERNAMA

0 comments: