Followers

Wednesday, August 11, 2010

Bayi ditemui dalam tong sampah ketika sahur

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang di Ayer Keroh di sini menemui seorang bayi perempuan di dalam sebuah tong sampah berhampiran tempat kerjanya, awal pagi ini.

Mohd Asri Shaari, 44, berkata beliau yang ketika itu baru lepas bersahur di kantin kilang, memeriksa tong sampah berkenaan selepas terdengar suara tangisan bayi pada jam 5.15 pagi.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini beliau berkata selepas diperiksa beliau menemui bayi yang masih bertali pusat itu dalam sebuah beg di dalam tong sampah tersebut.
Katanya, beliau terus menghubungi polis dan bayi itu kini berada di Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata polis sudah menahan seorang remaja lelaki dan remaja perempuan yang bekerja di kilang berkenaan, bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mereka yang berumur 18 tahun dan berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu dipercayai pasangan kekasih yang baru bekerja di kilang berkenaan sejak sebulan lalu.

"Kedua-dua suspek direman mulai hari ini sehingga Sabtu ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

0 comments: