Followers

Tuesday, August 10, 2010

Malaysia patut bangunkan 'Gold Souk' sendiri: Muhyiddin:

KUALA LUMPUR: Malaysia patut membangunkan 'Gold Souk' sendiri, kawasan serupa Gold Souk di Dubai, untuk merancakkan industri pelancongan negara dan menjadikan Malaysia sebagai syurga beli-belah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kawasan sebegitu akan membantu mempromosikan serta menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk membeli dan menghargai barangan kemas tempatan dan industri batu permata.
Muhyiddin berkata dengan memanfaatkan aset terkemuka seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), The Mall dan Hotel Seri Pacific serta bangunan-bangunan warisan berdekatan, konsep baru pelanggan berasaskan perniagaan boleh dibangunkan untuk menjadi satu lagi tarikan utama di negara ini.
"Berdasarkan pemerhatian saya, semasa saya dalam perjalanan ke hotel ini, saya lihat terdapat potensi besar untuk memanfaatkan nilai yang ada di kawasan ini.

"Konsep yang terlintas di fikiran ialah (termasuk) pembangunan Gold Souk Malaysia sendiri, kawasan yang serupa dengan Gold Souk di Dubai," katanya semasa melancarkan penjenamaan semula Hotel Seri Pacific dan program amal 1Malaysia Seri Pacific di sini hari ini.

Dubai Gold Souk atau Gold Souk ialah pasar tradisional di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. Ia terletak di tengah-tengah pusat perniagaan komersil Dubai iaitu di Deira, dalam daerah Al Dhagaya.

Terdapat lebih 300 peniaga di Souk yang berniaga barangan kemas secara eksklusif.
Muhyiddin berkata bagi setiap inisiatif, tidak mengira kecil atau besar, adalah amat penting untuk merancakkan pertumbuhan industri pelancongan kerana sektor itu telah dimasukkan dalam senarai 12 sektor yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya satu lagi konsep yang sesuai ialah termasuk menyediakan kawasan khas untuk perniagaan antarabangsa, organisasi, dewan perniagaan serta wakil perdagangan antarabangsa, yang terletak dalam atau berdekatan dengan PWTC untuk mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

"Bagaimanapun, untuk merealisasikan pembangunan ini, isu utama yang sentiasa ditekankan oleh kerajaan seperti kebersihan sungai, logistik yang mesra pejalan kaki, serta penyelenggaraan dan pemodenan bangunan-bangunan sedia ada, perlu dilaksanakan dengan lebih serius lagi," katanya. - BERNAMA

0 comments: