Followers

Sunday, August 8, 2010

Kepulauan Langkawi diberi nafas baru dalam RMKe-10

LANGKAWI: Kepulauan Langkawi akan diberikan nafas baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi mengembalikan semula kegemilangan pulau pelancongan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.

Beliau berkata, terdapat banyak pandangan yang menyatakan bahawa pulau lagenda ini sudah hilang daya penarik sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta semakin suram.
“Sehubungan itu, kerajaan akan melakukan beberapa inisiatif untuk membangunkan pulau ini,” katanya selepas merasmikan seminar bertemakan Pembangunan Langkawi - Hala Tuju, di sini hari ini.
"Sepatutnya Langkawi jadi ‘niche product’ untuk sektor pelancongan. Kalau Thailand boleh berbangga dengan Pulau Phuket, Koh Samui dan Krabi manakala Indonesia ada Bali, Malaysia juga ada pulau yang menarik.

"Di Malaysia, Langkawi dilihat lebih terkenal," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah berbelanja banyak untuk membangunkan Langkawi dalam Rancangan Malaysia sebelum ini bagi mengembangkan ekonominya dan keadaan sekarang jauh lebih baik daripada tahun 90-an dengan banyak perubahan besar telah berlaku di Langkawi.

"Tetapi sebenarnya kerajaan belum berpuas hati. Kita sudah banyak belanja dan kena belanja sikit lagi untuk bangunkan Langkawi menjadi pulau yang ada daya tarikan maksimum.
"Yang penting sekali, kita kena sediakan ejen-ejen pelancongan yang berkemahiran kerana kita kena tumpukan kepada pelancong yang berbelanja tinggi," katanya.

Nor Mohamed berkata, terdapat cadangan untuk Malaysia terutama Langkawi mewujudkan akademi pelancongan bagi melatih tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pelancongan.

"Selain itu kita kena selesaikan masalah yang nampak kecil tetapi mampu memberikan impak yang cukup besar. Sebagai contoh masalah kereta sewa.

"Ada pemilik kereta sewa kena membayar insurans RM6,000 setahun untuk sebuah kereta. Kita kena lihat isu pemain industri pelancongan di Langkawi," katanya.

Beliau berkata, ada juga cadangan untuk diwujudkan universiti di Langkawi selain menyediakan hospital yang lengkap terutama untuk kemudahan pelancong.

"Kita akan kaji cadangan itu. Pelancong perubatan juga penting, perkhidmatan perubatan kena bagus. Pelancong datang sini kalau sakit memerlukan hospital, kalau tak sempurna (hospital) susah nak tarik pelancong," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan senarai projek untuk Langkawi dalam beberapa bulan lagi sebagai sebahagian rancangan untuk membangunkan Langkawi terutama dalam sektor pelancongan.

"Langkawi mempunyai banyak potensi tetapi tidak digunakan sepenuhnya. Banyak yang kita boleh majukan terutama keadaan alam semulajadinya yang sememangnya menarik," katanya.

Mengulas cadangan membina jambatan dari Pulau Langkawi ke Pulau Tuba, Nor Mohamed berkata, kerajaan akan meneliti kos dan kelebihan yang diperolehi jika jambatan sepanjang kira-kira lima kilometer itu dibina dan jika hasilnya lebih daripada kos, kerajaan tiada masalah untuk membinanya.

Kepulauan Langkawi memiliki 99 pulau tetapi hanya dua pulau yang diduduki iaitu Pulau Langkawi dan Pulau Tuba. - Bernama

0 comments: