Followers

Sunday, July 18, 2010

Kementerian Kewangan nafi berbelanja boros sehingga buat pelarasan subsidi

IPOH: Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa kerajaan berbelanja boros sehingga perbendaraan negara semakin susut dan mengakibatkan pelarasan subsidi gula, gas petroleum cecair (LPG) dan petrol RON 95 serta diesel.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pendapatan negara tahun ini sebaliknya bertambah kira-kira RM10 bilion hasil daripada peningkatan kutipan cukai pendapatan dan perniagaan serta korporat.
Katanya, pelarasan subsidi perlu dibuat supaya sistem ekonomi negara lebih cekap, iaitu sebahagian daripada Langkah Transformasi Kerajaan (GTP) dan mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ketika menggubal Bajet 2010 tahun lalu, anggaran asal pendapatan negara ialah RM148 bilion tetapi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mengutip cukai dengan cekap menjadikan pendapatan keseluruhan negara tahun ini kira-kira RM158 bilion.

"Kementerian Kewangan boleh menggunakan lebihan RM10 bilion ini untuk menampung pelarasan subsidi RM750 juta tetapi kita tidak mahu terus kekal terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana.

"Kita menggunakan lebihan dana RM10 bilion ini untuk GTP dengan mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan melalui Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dan MBE.

"Menerusi MBE, kerajaan akan membantu pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan supaya pendapatan mereka meningkat secara berperingkat-peringkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Surau Taman Chepor Damai, dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam Harakah bahawa Kementerian Kewangan mengalami masalah kewangan meruncing akibat berbelanja secara boros.

Ahmad Husni berkata, Kementerian Kewangan membelanjakan hasil negara sebelum ini secara berhemah kerana Malaysia adalah negara sedang membangun yang masih memerlukan banyak pembinaan infrastruktur fizikal.


Katanya, dana negara terpaksa dibelanjakan untuk pembinaan jalan raya, lebuh raya, bangunan sekolah, hospital, meningkatkan keselamatan negara dan perumahan untuk rakyat dengan matlamat membawa kesejahteraan kepada orang-ramai.

0 comments: