Followers

Thursday, July 15, 2010

Kesan ketara pemulihan ekonomi tahun depan: Muhyiddin

TANAH MERAH: Pemulihan ekonomi negara dijangka dapat dilihat dengan lebih ketara tahun depan berikutan langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan secara agresif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan yakin dapat menambah pelabur baharu dan dengan itu, peluang pekerjaan akan bertambah.
"Kita telah melaksanakan pembaharuan ekonomi sebaik mungkin, sejajar pertumbuhan sebanyak 10 peratus pada suku pertama tahun ini, dan kerajaan telah memperkenal beberapa pendekatan baharu, termasuk Model Baru Ekonomi.
"Ya, mungkin hasil itu belum dilihat, namun saya yakin bermula tahun depan, rakyat akan menikmati peningkatan ekonomi negara yang lebih pesat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah dan Karnival Rakyat Parlimen Tanah Merah, di sini hari ini.

Beliau berkata, pertambahan peluang pekerjaan dan kemasukan pelaburan asing, adalah antara faktor yang akan merealisasikan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan agar situasi ekonomi dan politik selaras dengan iklim semasa dunia, yang jika tidak, negara bakal ketinggalan.

"Kalau suasana ekonomi sudah berubah, maka kita pun perlu mengubah cara kita menjalankan ekonomi supaya lebih berkesan.
"Limpahan nikmat kesan ekonomi ini juga dapat dirasakan semua rakyat di negara kita," katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi meningkatkan infrastruktur air bersih bagi penduduk di kawasan pedalaman Peralla, di jajahan ini. - Bernama

0 comments: