Followers

Wednesday, July 14, 2010

UMNO tidak lemah hingga perlukan kerjasama PAS: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak, berkata UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.
Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu berkata, PAS harus menghormati UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang juga adalah satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.
Beliau berkata, tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan UMNO dalam hal berkenaan.
"Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan lagi sebab Timbalan Presiden UMNO (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudahpun membuat kenyataan. Saya rasa cukuplah dengan kenyataan berkenaan.

"Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.
Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan UMNO bersatu.

Berikutan itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO dan PAS terlaksana.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sama ada kerjasama antara UMNO dan PAS itu menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya berhubung perkara tersebut. - BERNAMA

0 comments: