Followers

Saturday, July 10, 2010

Banyak lagi produk 1Malaysia akan diperkenal: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata lebih banyak lagi produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan gagasan 1Malaysia akan diperkenalkan kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memulakan langkah itu dengan memperkenalkan Klinik 1Malaysia dan meningkatkan kemampuan Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan pasport antarabangsa dalam tempoh 1 jam.
Katanya, produk dan perkhidmatan lain yang selaras dan menepati konsep dan gagasan itu sedang dikenal pasti.
"Gagasan 1Malaysia ini tidak terhad kepada soal perpaduan sahaja dan ia lebih luas daripada itu.

"Ia adalah sebahagian daripada rangkaikata Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang bererti mesti kaitkan produk 1Malaysia yang menjurus kepada kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bunga dan Taman (Floria) Putrajaya di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan konsep 1Malaysia yang juga visi Perdana Menteri.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Najib berkata, konsep 1Malaysia adalah konsep dan gagasan yang perlu difahami dan dihayati.

"Pada peringkat sekarang, ia lebih kepada aspek 'ceremonial' dan kefahaman tentang gagasan ini. Selepas ini akan masuk dalam fasa untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ada kaitan dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 26 cawangan Jabatan Imigresen kini mampu mengeluarkan pasport antarabangsa dalam masa sejam.

Katanya, beliau meminta setiap cawangan jabatan itu mempamerkan poster mengenai pasport antarabangsa yang boleh dikeluarkan dalam masa sejam dan menggunakan simbol 1Malaysia, dengan memberi penekanan kepada angka 1. - BERNAMA

0 comments: