Followers

Wednesday, July 7, 2010

Kes positif H1N1 menurun 30 peratus minggu lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif Influenza A (H1N1) sepanjang minggu lalu sehingga 3 Julai mencatatkan penurunan 30 peratus kepada 42 kes berbanding 60 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah itu menjadikan kes terkumpul 15,254 kes.
“Bagi tempoh 27 Jun hingga 3 Julai sebanyak lima kes kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang, membabitkan 821 pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya, 19 pesakit disahkan positif H1N1. Tidak ada kematian baru dilaporkan dalam tempoh berkenaan menjadikan jumlah kematian kekal pada 89 kes, katanya.

Beliau berkata, jumlah pesakit baru yang dimasukkan ke hospital akibat ILI juga menurun kepada 608 orang berbanding 610 pada minggu sebelumnya.

Sehingga Sabtu lalu, jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara ialah 390 kes membabitkan 69 hospital termasuk 14 hospital swasta.
"Daripada jumlah tersebut hanya 35 pesakit atau sembilan peratus adalah kes Influenza A(H1N1) dan 10 daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan enam daripadanya adalah individu berisiko," katanya.
Dr Mohd Ismail berkata, sehingga Isnin lalu, sebanyak 95.1 peratus vial vaksin digunakan, membabitkan 359,746 penerima yang terdiri daripada petugas-petugas Kementerian Kesihatan (97,930 orang), anggota keselamatan (92,694), dan kumpulan sasar berkeutamaan (169,122).

"Vaksin H1N1 juga atau hampir habis di kebanyakan negeri kecuali Johor yang masih terdapat lebih kurang 9,000 dos baki vaksin," katanya. - Bernama

0 comments: