Followers

Wednesday, June 9, 2010

2 pelajar Malaysia di Yaman tidak terbabit dengan al-Qaeda: Anifah

PUTRAJAYA: Dua penuntut Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Yaman kerana disyaki terbabit dengan rangkaian al-Qaeda, telah dibebaskan pada 30 Mei lalu dan dihantar pulang ke negara ini Rabu lalu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan Kedutaan Malaysia di Yaman juga mendapati mereka tidak terbabit dengan sebarang organisasi pengganas atau al-Qaeda seperti yang disangka pihak tertentu.
"Mereka hanya pelajar biasa, tetapi mereka cuma tidak mengetahui mengenai keperluan. Bagaimanapun, kita menghormati undang-undang Yaman dan mereka telah dihantar pulang pada 2 Jun," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Wisma Putra di sini hari ini.
Beliau mengulas penahanan penuntut berkenaan bersama 58 individu lain kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rangkaian al-Qaeda serta mempunyai hubungan dengan Umar Farouk Abdulmutallab, warga Nigeria yang cuba meletupkan kapal terbang di Amerika Syarikat pada Krismas lalu.

Penuntut terbabit ialah Raziff Mohd Arif, 18 dan Azizul Alfian, 22, kedua-duanya mengikuti pengajian bahasa Arab di sebuah universiti di Sanaa, ibu negara Yaman.

Anifah berkata, di Yaman apabila hendak keluar dari sesuatu kawasan sana, seseorang mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Tetapi dua pelajar itu telah pergi menziarah rakan dan mereka telah ditahan dan disyaki terbabit dengan kumpulan lain," katanya.
Sehubungan itu, Anifah berkata beliau telah mengarahkan Kedutaan Malaysia di Yaman, Mesir dan Jordan memberi taklimat mengenai undang-undang negara-negara berkenaan kepada penuntut Malaysia yang berada di sana.

Katanya, langkah itu bagi memastikan mereka mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di negara tersebut. - BERNAMA

0 comments: