Followers

Friday, May 28, 2010

Dua lagi kluster ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah menerima sejumlah dua laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) daripada dua negeri, Negeri Sembilan dan Johor, sehingga awal pagi ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican, berkata terdapat sebanyak 72 kejadian kluster yang masih aktif di seluruh negara ketika ini.

Sementara itu, katanya, sejumlah 23 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,772.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 595 kes di mana 53 kes disahkan positif Influenza A (H1N1)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat lapan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh mempunyai risiko H1N1.

"Jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini ialah 87 orang," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus H1N1 serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. - Bernama

0 comments: