Followers

Tuesday, May 25, 2010

Kapal tangki Malaysia berlanggar di Selat Singapura

SINGAPURA: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Malaysia, MT Bunga Kelana 3, berlanggar dengan sebuah kapal pengangkut pukal di Selat Singapura kira-kira 13 kilometer (km) ke tenggara Changi East pagi ini.
Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata kapal tangki itu berlanggar dengan kapal pengangkut pukal yang berdaftar di St Vincents dan Grenadines, MV Waily, di laluan pemisah trafik (TSS) di selat itu kira-kira 6.10 pagi.

Dalam satu kenyataan, MPA berkata tidak ada laporan mengenai kecederaan terhadap anak kapal tetapi satu dari tangki kargo kapal minyak itu rosak mengakibatkan tumpahan minyak.
Kapten kapal tangki itu menganggarkan 2,000 tan metrik minyak mentah mungkin telah tumpah ke laut.

Kedua-dua kapal kini berlabuh di Selat Singapura dengan MT Bunga Kelana 3 berada kira-kira 7km ke selatan Changi East.

Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan MPA menyiarkan pengumuman pelayaran kepada kapal-kapal yang melalui TSS supaya berhati-hati terhadap kapal yang berlabuh itu.

Lalu lintas di TSS bagaimanapun tidak terjejas.
MPA telah menggerakkan syarikat-syarikat pembersih minyak, yang telah menugaskan tiga kapal lengkap dengan alat pembersih minyak.

Usaha mengawal dan membersihkan tumpahan minyak sedang berjalan.

MPA telah juga memberitahu pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia mengenai insiden itu. - Bernama

0 comments: