Followers

Monday, May 24, 2010

Malaysia, Singapura setuju turunkan kadar tol Linkedua

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura bersetuju mengurangkan kadar tol di Linkedua bagi meningkatkan hubungan darat antara kedua-dua negara.
Persetujuan itu dicapai pada pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

“Tol di kedua-dua laluan Linkedua itu, menghubungkan Tuas dan Tanjung Kupang di Johor, akan diturunkan pada kadar yang besar,” kata kedua-dua pemimpin itu pada satu sidang media bersama di sini.
Kadar baru itu dijangka diumumkan dalam tempoh sebulan ini.

Najib berkata, beliau dan Lee bersetuju bahawa untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, hubungan darat antara Malaysia dan Singapura perlu dipertingkat dan dipermudahkan.

Kedua-dua pemimpin itu juga mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia, yang ditugaskan meningkatkan perhubungan antara kedua-dua negara, telah bersetuju mengenai beberapa langkah.

Perkhidmatan bas berjadual antara kedua-dua negara akan digandakan dengan memperkenalkan lapan laluan baru, masing-masingnya empat di setiap negara, antara Pasar Bakti dan Larkin di Johor dan dua pusat percutian (Resort World Sentosa dan Marina Bay Sands Singapore), Boon Lay, Yishun, Newton dan Lapangan Terbang Changi di Singapura.
Perkhidmatan teksi antara kedua-dua negara juga akan dipermudahkan, dengan membenarkan teksi mengambil dan menurunkan penumpang dari mana-mana lokasi dalam laluan domestik berbanding dengan hanya di terminal teksi tertentu.

Mengulas sektor pelancongan, kedua-dua negara sedang mengkaji kemungkinan mengadakan produk eko-pelancongan berkembar.

Malaysia dan Singapura akan juga berkongsi pengalaman dan merangka secara bersama pelan membersih sungai sejajar dengan usaha yang dijalankan oleh Iskandar Malaysia. - Bernama

0 comments: