Followers

Friday, May 21, 2010

Jangan puas hati menjadi negara ke-10 berdaya saing: Mohd Sidek

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak harus berpuas hati dengan pencapaiannya sebagai negara ke-10 paling berdaya saing di dunia sebaliknya mesti berusaha untuk menambahbaik pencapaian itu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata sekalipun pencapaian Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara seperti New Zealand, usaha untuk maju adalah ''tugas yang tidak berakhir''.
Beliau berkata, dalam konteks itu semua segmen harus meningkat dan ianya memerlukan penambahbaikan dalam sistem penyampaian sektor awam dan swasta serta masyarakat amnya.
"Adalah tidak bagus meningkat ke kedudukan ke-10 tetapi dalam konteks yang lain tidak meningkat," kata beliau ketika diminta mengulas ucapannya pada bengkel mengenai pemikiran kepimpinan, di sini hari ini.

Dalam syarahan bertajuk ''Etika-etika Sejagat dalam Masyarakat Majmuk'' di sini, Mohd Sidek berkata, walaupun Malaysia berada di depan berbanding negara seperti China, Itali dan New Zealand dalam kedudukan daya saing, ianya belum memadai.

Beliau berkata demikian mengulas pencapaian Malaysia menjadi negara ke-10 paling berdaya saing di dunia, iaitu meningkat daripada kedudukan ke-18 sebelum ini, dalam World Competitiveness Yearbook 2010.

Mengulas ucapannya yang turut menegaskan bekerja di sektor awam tidak boleh lagi dianggap sebagai ''pekerjaan selamat'', Mohd Sidek berkata, era globalisasi sekarang hanya mengambil kira faktor merit.
"Saya rasa jika anda tidak memenuhi prestasi maka kita akan mencari jalan yang lebih baik untuk memastikan anda melakukanya," katanya.

Mohd Sidek berkata, pada masa kini semakin ramai yang menyertai perkhidmatan awam termasuk mereka dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta, menjadikan perkhidmatan awam semakin berdaya saing.

"Saya berpendapat keadaan ini akan menjadi satu trend dan ianya adalah suatu yang baik," kata beliau.

Dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata, masih banyak yang harus dilakukan Malaysia untuk mencapai matlamat seperti menghapuskan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini, meningkatkan kadar celik huruf daripada 88 peratus kepada 100 peratus dan membasmi rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Cabaran-cabaran lain, katanya, ialah menarik bakat-bakat baru dan menaikkan standard bakat tempatan serta membuka peluang pasaran baru menerusi inovasi, selain meningkatkan standard ekonomi kepada model pendapatan tinggi dan tidak lagi terperangkap sebagai negara berpendapatan kelas menengah.

Mohd Sidek berkata, semua polisi kerajaan pada semua peringkat sama ada persekutuan mahupun negeri adalah saksama dan setanding.

"Kita bekerja keras untuk menghapuskan kemiskinan pada semua lapisan masyarakat, menyediakan pendidikan tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama dan jantina.

"Wanita mempunyai peluang yang sama seperti lelaki. Barangkali kita adalah satu daripada beberapa negara di dunia yang boleh berbangga kerana mempunyai wanita memegang jawatan utama dalam negara," katanya.

Menyentuh isu masyarakat majmuk, Mohd Sidek berkata, yang paling utama adalah kepentingan masyarakat iaitu untuk kebaikan bersama.

"Kehebatan pencapaian kita tidak bermakna jika kita tidak dapat mempertahankan keamanan pada semua peringkat dalam masyarakat. Ini hanya dapat dicapai jika semua pihak diambil kira," katanya.

Beliau turut menyentuh peranan aktif Malaysia dalam dunia Islam khususnya menerusi Pertubuhan Persidangan Islam yang disifatkannya bukan saja untuk menjaga kepentingan umat Islam tetapi juga masyarakat majmuk. - Bernama

0 comments: