Followers

Thursday, May 20, 2010

Kerajaan sasar naikkan paras daya saing Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mensasarkan untuk menaikkan lagi paras daya saing negara ini ke paras lebih tinggi lagi daripada kedudukan ke-10 sekarang dengan menambah baik secara berterusan keefisienan dan keberkesanan perniagaan dan kerajaan.
Perdana Menteri yang gembira dengan kedudukan daya saing Malaysia yang dinaikkan ke paras ke-lapan daripada paras ke-18 sebelum ini, berkata pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan banyak inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan sejak setahun lalu.
Antara usaha yang dilaksanakan ialah mewujudkan Pasukan Petugas Khas Untuk Memudahkan Perniagaan (Pemudah), pelan transformasi kerajaan, liberalisasi dan penyahkawalaturan.
Selepas menerima kesan krisis ekonomi global, ekonomi pulih pada suku keempat tahun lalu dengan mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.4 peratus dan lebih kukuh lagi kepada 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

Najib berkata, beliau terkejut dengan pertumbuhan KDNK itu.

"Jika kita terus mencatatkan pertumbuhan seperti itu, ekonomi kita boleh meningkat lagi," katanya pada majlis pecah tanah bangunan ibu pejabat baru Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, dengan lebih banyak perubahan akan dilaksanakan melalui pelan transformasi kerajaan, Malaysia boleh mencapai kedudukan yang lebih tinggi.
Ketika memberi Malaysia markah yang tinggi dan menaikkan kedudukannya sebanyak lapan tingkat, Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) di dalam World Competitiveness Yearbook 2010, berkata faktor lain ialah pelaksanaan secara berkesan keputusan kerajaan, yang sebahagian besarnya kerana keupayaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengemudikan ekonomi negara.

IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) itu adalah laporan tahunan paling terkemuka dan komprehensif mengenai daya saing negara-negara, kedudukannya dan analisis bagaimana persekitaran negara itu mewujudkan dan mengekalkan daya saing enterprisnya.

Sementara itu, mengulas pengumuman Bon Kedaulatan Sukuk, Najib berkata, Malaysia tidak akan dapat melaksanakan bon itu jika pasaran dunia tidak berkeyakinan terhadap keupayaan negara ini menguruskan ekonomi.

Perdana Menteri melancarkan penanda aras Sukuk Global yang didominasi dolar Amerika Syarikat (AS) di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Sukuk itu, yang distrukturkan mengikut prinsip Ijarah syariah akan menjadi sukuk yang didominasi dolar AS kedua Malaysia sejak kejayaan penerbitan sukuk global kedaulatan pertama dunia pada 2002.

Barclays Capital, CIMB dan HSBC telah diberi mandat sebagai pengurus akaun bersama bagi tawaran sukuk itu. - Bernama

0 comments: