Followers

Sunday, May 16, 2010

Perintah berkurung Thailand tidak dikuatkuasakan

BANGKOK: Thailand memutuskan untuk tidak menguatkuasakan perintah berkurung di Bangkok pada ketika ini kerana yakin pasukan keselamatan masih mampu mengawal keadaan walaupun angka kematian meningkat kepada 25 orang ketika pertempuran antara tentera dan penunjuk perasaan anti-kerajaan masuk hari keempat, hari ini.
Penolong Ketua Staf Tentera, Aksara Kerdpol, berkata tidak perlu menguatkuasakan perintah itu pada ketika ini.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dalam ucapan mingguannya melalui televisyen berkata perintah berkurung mungkin perlu dikuatkuasakan untuk meminimumkan kerugian.
Aksara berkata, pasukan keselamatan akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan akan membuat keputusan mengenai perkara itu apabila perlu.

Setakat jam 4 petang, seorang maut dan 15 lagi cedera dalam pertempuran hari ini yang berpusat di kawasan Bon Kai dan Din Daeng, menjadikan angka kematian kepada 25 dan 215 cedera.

Pusat Penyelesaian Keadaan Darurat (CRES) hari ini meminta warga tua, wanita dan kanak-kanak yang menyertai penunjuk perasaan itu meninggalkan kawasan perhimpunan itu menjelang 3 petang esok.

CRES, bagaimanapun tidak menyebut apa yang akan berlaku di tapak perhimpunan itu selepas tempoh itu.
Sementara itu, pemimpin kumpulan penunjuk perasaan baju merah, Natthawut Saikua mahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), campur tangan dalam krisis itu dan bertindak sebagai orang tengah ketika rundingan di antara kerajaan dan kumpulan penunjuk perasaan itu.

"Kami berpendapat tiada organisasi lain yang boleh bersikap adil terhadap kami kecuali PBB," katanya.

Beliau berkata, kumpulan baju merah bersedia untuk memulakan rundingan baru dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu itu dan mengadakan proses berdamai.

Kerajaan masih belum memberikan maklum balas terhadap perkembangan terbaru itu tetapi sebelum ini, pemimpin kumpulan baju merah turut membuat tawaran sama tetapi ditolak kerajaan.

Thailand sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak memerlukan campur tangan asing untuk menyelesaikan isu itu kerana ia boleh mengendalikan mereka dan kerajaan juga telah menutup pintu bagi rundingan kerana rundingan sebelum ini gagal.

"Tidak akan berpatah balik," kata Abhisit sebelum ini yang merujuk kepada operasi tentera akan diteruskan kerana semua penyelesaian melalui politik dan secara aman tidak berjaya berikutan kumpulan baju merah enggan keluar dari kawasan yang diduduki mereka.

Lagipun, kerajaan Thailand tidak mahu tunduk kepada militan bersenjata yang terdapat di kalangan penunjuk perasaan berkenaan dan mahu menggulingkan kerajaan tanpa mengikut saluran demokrasi.

Bantahan itu bermula 12 Mac dalam usaha mereka mendesak kerajaan membubarkan Parlimen tetapi apa yang bermula sebagai bantahan secara aman telah bertukar menjadi pertempuran besar-besaran dengan letupan bom, berbalas tembakan termasuk menggunakan peluru hidup dan bom tangan dan juga kehadiran penembak hendap.

Penunjuk perasaan berkenaan berkumpul di kawasan seluas empat kilometer persegi di pusat bandar raya ini yang turut menempatkan kompleks beli-belah, hotel lima bintang dan pejabat sejak 3 April, yang telah melumpuhkan kegiatan ekonomi di kawasan itu. - Bernama

0 comments: