Followers

Sunday, May 9, 2010

Tambah rumah bumiputera




NAJIB Tun Razak memukul gong sebagai tanda perasmian Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di Bukit Mertajam semalam. – Mingguan/Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 8 Mei – Kerajaan akan menambah peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki golongan bumiputera di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, langkah tersebut wajar memandangkan tahap pemilikan rumah oleh orang Melayu terutamanya di lokasi strategik di negeri ini masih terlalu rendah.
Serentak itu katanya, kerajaan juga akan menyalurkan dana untuk yayasan sedia ada di Pulau Pinang untuk membantu meningkatkan penyertaan dan keupayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
‘‘Kalau ada tanah, kita sanggup tambah peruntukan untuk membina rumah kos rendah atau kos sederhana supaya orang Melayu juga mampu memiliki rumah.
‘‘Jadi dalam RMK-10 nanti, peruntukan ini akan kita tambah,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada 30 peratus kuota peruntukan perumahan untuk golongan bumiputera, hanya 13 peratus yang mampu dibeli oleh golongan itu di Pulau Pinang.
‘‘Melihat kepada angka-angka ini, masih banyak yang tidak mampu.
“Justeru, kita perlu sediakan rumah yang mampu dibeli oleh orang Melayu di tempat-tempat tertentu,” tambahnya.
Perdana Menteri turut mengesyorkan supaya tumpuan diberi kepada usaha memberi latihan kemahiran kepada golongan muda terutamanya yang tidak dapat melanjutkan pengajian selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan kemahiran katanya, golongan itu mampu membina keupayaan untuk menceburi bidang lain sekali gus membantu mewujudkan persekitaran ekonomi orang Melayu yang lebih baik pada masa depan.
‘‘Kita tidak mahu anak-anak kita keluar setakat SPM sahaja dan akhirnya ramai yang bekerja kilang kerana ini tidak membantu mereka membina keupayaan untuk berjaya.
‘‘Kalau setakat SPM, kita tidak akan kemana-mana. Sebab itu, kita mahu lebih banyak anak-anak kita melanjutkan pengajian atau setidak-tidaknya menguasai pelbagai kemahiran,” ujarnya.

0 comments: