Followers

Saturday, May 8, 2010

Hampir 48 juta kanak-kanak lakukan kerja berbahaya di Asia

NEW DELHI: Masalah kemiskinan terus memaksa ramai kanak-kanak di rantau Asia Pasifik membanting tulang melakukan kerja-kerja berbahaya, dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggar 48 juta kanak-kanak terpaksa terjerumus ke dalam bentuk pekerjaan sedemikian.

Ketua Pengarah ILO, Juan Somavia dalam satu kenyataan hari ini, berkata seorang daripada setiap lapan kanak-kanak di rantau Asia Pasifik terbabit dalam bentuk pekerjaan, dan orang muda di rantau ini berdepan dengan ketidaktentuan yang tinggi yang berkaitan dengan konflik dan bencana alam.
"Kemajuan dalam menangani perkara ini tidak sekata, ia tidak cukup pantas dan tidak cukup menyeluruh untuk mencapai matlamat yang kami tetapkan," katanya.
"Gerakan besar-besaran yang baru diperlukan. Keadaan ini memerlukan kempen yang hebat membanteras gejala buruh kanak-kanak. Tindakan tegas dan pantas perlu digembleng bagi menangani perkara ini dengan lebih efisyen," tambahnya.

Menurut laporan global baru ILO berhubung Buruh Kanak-kanak, konflik baru-baru ini dan bencana alam seperti banjir, gempa bumi, di Afghanistan, Indonesia, Nepal, Pakistan, Sri Lanka dan Filipina, memusnahkan sekolah memecah belah keluarga, dan sekali gus menjejaskan kebajikan kanak-kanak.

Asia Selatan yang memiliki hampir 1.5 bilion penduduk dikenal pasti sebagai kawasan yang paling banyak dibelenggu dengan gejala buruh kanak-kanak.

"Perjuangan kritikal menentang gejala buruh kanak-kanak perlu dimenangi di Asia Selatan, di mana jumlah buruh kanak-kanak paling ramai dikesan. Ia sering kali berkaitan dengan masalah dasar dan bukan hanya berkisar mengenai kemiskinan yang mengakibatkan ramai kanak-kanak tidak bersekolah dan terjerumus ke kancah buruh kanak-kanak," kata ILO.
Selain itu, kanak-kanak dari komuniti yang miskin di kawasan berkenaan turut terdedah kepada gejala pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh murah serta eksploitasi seks, dan rata-rata jenayah ini terlepas susulan masalah pihak berkuasa untuk sampai kepada mangsa. - Bernama

0 comments: