Followers

Wednesday, May 5, 2010

PM akan rasmi Konvensyen Usahawan Melayu 2010

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 yang bertujuan mencari idea dan rangka kerja baru pembangunan usahawan Melayu di dalam Model Ekonomi Baru (MEB).
Konvensyen yang dijangka menarik lebih 600 orang peserta terdiri daripada ahli profesional, ekonomi dan usahawan, akan berlangsung selama dua hari dari 14 hingga 15 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan tema, "NGO Force Ke 3, Penjana Ekonomi Bangsa".
Presidennya, Syed Ali Alattas, berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, juga dijangka turut hadir dan akan memberi ucaptama di konvensyen anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) itu.
"Kebiasaanya, NGO menyeru kerajaan supaya menyediakan dan melakukan sesuatu tetapi sekarang NGO akan sama-sama berganding bahu untuk memacu ekonomi negara," katanya.

Syed Ali Alattas berkata, NGO atau badan bukan kerajaan akan sedaya upaya untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada penggerak ekonomi negara iaitu kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, NGO akan bekerja sama bagi mempastikan MEB berjaya melonjakkan ekonomi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

"Kita akan cuba untuk mewujudkan Pensyarikatan NGO yang akan menyumbangkan kepakaran dan idea bagi menjayakan MEB," katanya.
Syed Ali berkata, cabaran yang sedang dihadapi oleh negara sekarang sangat jauh berbeza dengan cabaran yang dilalui sewaktu berlangsungnya kongres-kongres yang diadakan sebelum ini.

Konvensyen pada kali ini adalah kesinambungan dari Kongres Melayu yang ke-empat yang telah diadakan buat kali terakhir pada 1999.

Kewujudan Majlis Amanah Rakyat, Bank Bumiputra, Bank Pembangunan, Pernas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Yayasan Hartanah adalah idea yang dicetuskan melalui kongres sebelum ini.

Syed Ali Alattas berkata, konvensyen diadakan untuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap kemajuan pembangunan usahawan Melayu.

Selain itu juga, Konvensyen akan membincangkan mengenai peranan yang mesti dimainkan oleh usahawan Melayu dalam model ekonomi baru, melihat semula kemudahan pinjaman.

Syed Ali berkata, konvensyen itu akan menggarap idea baru untuk dijadikan dasar utama pembangunan usahawan Melayu dalam MEB dengan matlamat meningkat ekonomi Melayu setanding dengan kaum lain menjelang 2020.

Beliau berkata, konvensyen akan menggubal rangka kerja pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi Melayu dan menetapkan matlamat kuantitatif dan kualitatif pembangunan usahawan Melayu hingga 2020. - Bernama

0 comments: